responsif teks foto

Jumaat, 29 Oktober 2021

Program Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Tanah Felda


 
KENYATAAN MEDIA MENTERI BESAR PAHANG

Program Rumah Rakyat Pahang (RRP) diperluaskan meliputi tanah hakmilik dalam kawasan FELDA

Kerajaan Negeri bersetuju meluaskan pengenalan dan pelaksanaan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) untuk golongan memerlukan, bagi turut meliputi tanah hakmilik dalam kawasan Rancangan Tanah FELDA di Pahang.

Matlamatnya ialah untuk membantu golongan memerlukan dalam kalangan generasi kedua FELDA memiliki rumah, di atas tanah hakmilik ayah/ibu yang merupakan generasi pertama dalam kawasan-kawasan rancangan tanah berkenaan.

Dengan ini, rumah RRP bernilai RM65,000 sebuah dan diberi percuma, akan dibina di kawasan sama dengan rumah ayah/ibu mereka. Keizinan daripada ayah/ibu serta adik-beradik lain bagaimanapun diperlukan terlebih dahulu.

Keputusan mesra-generasi kedua ini dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu, 27 Oktober lepas. Ia satu lagi usaha Kerajaan Negeri dalam membantu generasi kedua FELDA memiliki rumah.

Semakan undang-undang mendapati keputusan ini tidak bercanggah dengannya, manakala FELDA pula tidak mempunyai sebarang halangan kepada pengenalan dan pelaksanaannya.

Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan-kawasan terlibat kelak, diminta bertindak memudahcarakan agar program ini berjalan lancar dan berkesan serta memanfaatkan pihak penerima.

Pegawai-pegawai Daerah pula – sepertimana peranan mereka dalam mengenalpasti dan memilih golongan layak menerima RRP di kawasan-kawasan lain; turut dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti dan memilih penerima RRP dalam Rancangan Tanah FELDA ini.

DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang

29 Oktober 2021

Tiada ulasan:

AddToAny