responsif teks foto

Rabu, 23 Februari 2022

Kebanyakan Pekebun Getah tak Percaya Klon RISDA.

 


Ramai yang keliru mengenai sumber benih getah RISDA ini. disebabkan kekeliruan itu, berbondong-bondonglah komen-komen yang tidak berkaitan. Kami jelaskan dibawah, teruskanlah membaca ya!

RISDA menjalankan fungsi-fungsinya sebagai pelaksana di peringkat lapangan bersama pekebun kecil. Kami berusaha bersama-sama pekebun getah sejak diperingkat kebun sana. Benih-benih klon getah bermutu tinggi dikeluarkan oleh Syarikat Milikan RISDA melalui tapak semaian RISDA yang diuruskan oleh RISDA Semaian Sdn.Bhd (RSSB).

klon-klon ini dibawah pengesyoran LGM sebagai agensi badan pengawalan dan penyeliaan berkaitan industri getah di negara kita.

Semua pengesyoran dan pengesahan mengenai benih ini perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) sebagai agensi yang bertanggungjawab berkaitan penyelidikan dan pengesahan benih-benih getah ini. Lesen pengeluaran benih getah LGM di bawah Peraturan 5(1) perlu dipatuhi oleh RISDA.

Jenis-jenis klon yang disyorkan oleh LGM melalui RISDA ialah :

KUMPULAN 1:
  • PB260
  • PB350
  • RRIM928
  • RRIM2001
  • RRIM2002
KUMPULAN 2:
  • RRIM2007
  • RRIM2023
  • RRIM2024
Benih-benih yang disyorkan ini telah menjalani kajian yang panjang sehingga 10,20,30,40 tahun sebelum boleh disyorkan. Ia suatu tugas yang memakan masa, tenaga dan sumber modal sebelum boleh diguna pakai secara meluas. Ya, klon-klon ini ada kelemahannya, tapi pengesyoran yang dibuat memilih klon yang terbaik diantara yang terbaik. Negara-negara luar pun mencemburui bagusnya klon-klon getah kita.

Perbezaan fungsi-fungsi ini adalah berdasarkan kepada bidang tugas dan kepakaran kami. Kerjasama diantara RISDA dan LGM bukanlah suatu yang baru. Kita tidak boleh menjadi pakar di dalam semua bidang sehubungan itu kita bekerjasama. RISDA pakar mengeluar dan membangunkan, LGM pakar menyelidik dan membuat kajian. Objektif kami sama, demi kelangsungan Pekebun Kecil dan industri getah negara.

Dalam masa yang sama, kami ini hanya berkhidmat untuk kebaikan Pekebun Kecil. Benih-benih getah ini juga perlu ditanam oleh Pekebun Kecil dengan baik, dibaja dan dijaga melalui amalan pertanian baik (Good Agriculture Practice@GAP) dikebun tuan-tuan dan puan-puan sehingga matang dan berhasil.

Jika kita mencari perbezaan kita akan jumpa banyak sebab untuk berseteru. Tetapi jika kita mencari persamaan, kami yakin hubungan kita akan lebih akrab, industri kita akan lebih maju dan semua cabaran kita akan hadapi bersama. Dihadapan kita masa depan sangat mencabar, kita tiada masa untuk bertunding jari sesama kita yang hanya akan merugikan masa dan tenaga tanpa manfaat.

Kredit : RISDA Malaysia HQ

Tiada ulasan:

AddToAny