responsif teks foto

Isnin, 17 Julai 2023

FAQ - Keputusan Mahkamah Persekutuan Terhadap Pesara

 


FAQ

KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN YANG TELAH
MEMUTUSKAN SEKSYEN 3 DAN 7 AKTA
PENYELARASAN PENCEN (PINDAAN) 2013 [AKTA
A1447] ADALAH BERTENTANGAN DENGAN
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM


1. Apakah kesan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap pesara?

Bayaran pencen kepada semua pesara perlu dikembalikan kepada amaun pencen asal iaitu:
(a) pegawai awam yang bersara sebelum 2013 – bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012; dan
(b) pegawai awam yang bersara mulai 2013 – bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara
 
2. Adakah pesara perlu membuat pembayaran semula kenaikan pencen dua peratus (2%) yang telah diberikan mulai tahun 2013?

Tidak perlu. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Kerajaan tidak boleh mengutip balik penyelarasan pencen tahunan sebanyak 2% yang telah dibayar sebelum ini






3. Apa yang dimaksudkan dengan bantuan khas sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP)?
 
PKKP adalah inisiatif Kerajaan untuk mengharmonikan pelaksanaan keputusan Mahkamah Persekutuan dengan memelihara kebajikan pesara. PKKP merupakan pembayaran perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara setiap bulan, sama seperti amaun pencen semasa. Sebagai contoh, sekiranya amaun pencen asal pesara pada bulan Disember 2012 ialah sebanyak RM1,413.49, manakala amaun pencen bulan Jun 2023 ialah sebanyak RM1,757.43, pengiraan PKKP adalah seperti berikut:
Amaun pencen asal + bantuan khas PKKP = amaun semasa = RM1,413.49 + RM343.94 = RM1,757.43

4. Sehingga bila PKKP dibayar kepada pesara?

Bayaran akan dibuat bermula pada bulan Julai 2023 hingga Disember 2023.
 
5. Adakah pesara terus menerima PKKP pada Januari 2024?

Tidak, walau bagaimanapun, perkara ini akan dikaji bersekali dengan cadangan sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri

6. Bilakah penyelarasan pencen bagi pesara pesara akan dibuat?

Penyelarasan pencen akan dibuat selaras dengan pelaksanaan semakan gaji pegawai Perkhidmatan Awam.

7. Adakah Kerajaan bercadang untuk melaksanakan semakan gaji pegawai Perkhidmatan Awam dalam masa yang terdekat ini?
 
Kerajaan sedang dalam tindakan menyediakan cadangan semakan semula gaji pegawai Perkhidmatan Awam. Walau bagaimanapun, sebarang pertimbangan terhadap syor semakan gaji adalah tertakluk kepada kemampuan kewangan Negara.


Pengarah JHEV.

Tiada ulasan:

AddToAny