responsif teks foto

Rabu, 5 Julai 2023

Pekebun Musang King Menang Kes


Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) untuk membatalkan prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh dua kumpulan pekebun durian musang king di Raub disifatkan kemenangan penting buat mereka.

Dalam keputusan tersebut, mahkamah juga telah memerintahkan responden ke-6 iaitu RPDR-PKPP membayar kedua-dua kumpulan pekebun RM10,000 setiap kumpulan iaitu secara keseluruhan RM20,000 sebagai kos mahkamah.

Penasihat Save Musang King Alliance (Samka), Chow Yu Hui berkata, walaupun pekebun terbabit telah menghadapi banyak halangan semasa perjuangan semakan kehakiman, keputusan tersebut dapat menanamkan keyakinan dalam menghadapi cabaran lebih besar selepas ini.

Menurutnya, ia menandakan bahawa pertempuran undang-undang yang dimulakan oleh pekebun terbabit sejak tiga tahun lalu akan berterusan ketika mereka mencari keadilan.

"Kes ini dibicarakan melalui prosiding dalam talian, dan berikutan pemecatan itu, perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan pada 5 Januari 2021, kekal berkuat kuasa.

"Dalam erti kata lain, sebelum kes selesai, agensi penguatkuasaan undang-undang dilarang mengambil tindakan terhadap pihak yang berperkara, membenarkan pekebun meneruskan aktiviti penanaman di kebun durian," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Raub memberitahu, permohonan oleh responden ke-6 adalah remeh dengan alasan yang dikemukakan oleh syarikat itu dalam permohonan mereka tidak berasas sama sekali.

Jelas Yu Hui, syarikat terbabit menuduh peguam pekebun menjalankan saman undang-undang tanpa kebenaran yang sewajarnya, menimbulkan keraguan terhadap integriti dan profesionalisme mereka. - Sumber Sinar Harian oleh ROSILAWATI ROSEDI


 

Tiada ulasan:

AddToAny