responsif teks foto

Isnin, 29 November 2010

Pembangunan Pahang Barat Biar Realiti

Projek IADP

Tahun 2010 sebenarnya memberi erti yang cukup besar bagi pentadbiran kerajaan negeri Pahang terutama dalam usaha pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar dan pedalaman.Usaha kerajaan negeri menghapuskan kemiskinan demi memberi keselesaan penduduk luar bandar merupakan antara agenda utama dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tahun ini.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri memberi tumpuan khusus terhadap projek luar bandar bagi menjana pembangunan modal insan, membuka peluang ekonomi baru dan mengukuhkan institusi sosial.

Dalam usaha membangunkan modal insan, kerajaan negeri 'melabur' jutaan ringgit dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran, pembangunan usahawan, pemantapan kepimpinan dan pemerkasaan belia.

Tidak dapat dinafikan bahawa sepanjang RMK-9, usaha melahirkan individu cemerlang, keluarga bahagia dan masyarakat beridentiti menerusi keseimbangan pendapatan dalam agihan kek ekonomi negeri berjaya direalisasikan sepenuhnya.

Dalam tempoh sama juga, kerajaan negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan di kawasan Pahang Barat yang dikatakan agak ketinggalan berbanding Pahang Timur.

Antara kawasan yang menjadi fokus kerajaan negeri ialah di daerah Jerantut dan Kuala Lipis yang agak jauh dari pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kuantan.  

Ahad, 21 November 2010

Pelancong Singapura sertai ibadah korban di Kuala Medang

MENARIK...Beberapa kawasan di sekitar Kg Kuala Medang
KUALA LIPIS 19 Nov. - Seramai 12 pelancong dari Singapura menunaikan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha ketika menyertai Program Inap Desa di Kampung Kuala Medang di sini semalam.
Pelancong berkenaan terdiri daripada ahli Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) yang mengadakan lawatan selama tiga hari dan menyambut Aidiladha bersama keluarga angkat masing-masing di Kuala Medang.
Acara korban membabitkan sebanyak tiga ekor lembu dilakukan oleh Imam Masjid Kuala Medang, Hassan @ Ismail Mat Sam.
Daging korban tersebut kemudian diagihkan kepada golongan asnaf dan 40 keluarga Orang Asli Islam di Kampung Pantos, Jelai yang dilakukan sendiri oleh ahli-ahli Pergas dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kampung tersebut.
Ketua rombongan Pergas, Zubaidah Abdullah, berkata, ibadah itu sebagai tanda syukur serta memeriahkan sambutan Aidiladha bersama penduduk di pedalaman Hulu Jelai dekat sini.
Menurutnya, persatuan itu melaksanakan acara korban membabitkan 5,000 kambing sempena hari pertama Aidiladha di Masjid al-Falah dan Madrasah al-Junid, di Singapura. Seterusnya

Khamis, 18 November 2010

Budayawan Negara : Dato’ Haji Zakaria bin Hitam

         
             Dato' Haji Zakaria bin Hitam atau dikenali Pak Zek 

Buku tulisan Dato' Haji Zakaria Hitam


Budayawan Dato’ Haji Zakaria bin Hitam yang lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Zek' dilahirkan pada 20 Jun 1912 di Kampong Benta Mukim Langgar, Pekan Pahang. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Langgar hingga lulus pada tahun 1925. Kemudian ke sekolah Inggeris Kerajaan Pekan (1926-1928) dan seterusnya ke sekolah Clifford, Kuala Lipis sehingga tamat Junior Cambridgee (1932) dan lulus School Certificate bersendirian (1937).


Pernah berkihidmat sebagai Setiusaha Menteri Besar Pahang selama lima tahun dan sebagai Pegawai Kerajaan di Jabatan Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri dari 1 Mei 1961 hingga 30 Dis 1970. Semasa bertugas di Pejabat Tanah dan Galian Pahang, Pak Zek telah diberi tugas tambahan sebagai timbalan pendaftaran geran-geran selama 5 tahun 4 bulan. Pak Zek bersara pada 31 Dis 1970.

Selepas itu Pak Zek menumpukan sepenuh perhatian dalam kegiatan Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Pahang. Beliau juga menjadi ahli beberapa buah persatuan iaitu ahli Lembaga Muzium Negari Pahang, Ahli Folklore Society dan Oriental Ceramic di United Kingdom.

Pak Zek mula mengumpulkan cerita rakyat semenjak puluhan tahun. Lebih dari 200 karya telah diterbitkan.  Karyanya ‘Si Bijak Di Hutan’ memenangi hadiah UNESCO dalam tahun 1967.  Sebuah karyanya diterbitkan dalam bahasa Inggeris oleh Sterling Press, New Delhi yang berjudul The Folktales of Malaysia pada tahun 1979.  Setakat ini 40 buah buku cerita rakyat usahanya telah diterbitkan. Sebagai mengenangkan jasanya dalam bidang sastera, budaya dan sejarah, dia telah dianugerahkan gelaran Budayawan Negara oleh GAPENA pada tahun 1978.  Pada Jun 1982 beliau dianugerahkan pula Ijazah Kehormat Sarjana Sastera oleh Universiti Malaya.  Sempena Seminar Perlindungan dan Perkembangan Warisan Sejarah dan Kebudayaan Negeri Pahang 1983 Pak Zek digelar Bapa Sastera Rakyat Pahang.

Yang cicir tidak dikutip
Yang hilang tidak dicari

“Maka tak syak lagi salah satu warisan budaya datuk nenek kita akan hilang. Masa itu anak cucu kita akan mencerca kita kerana kelalaian kita memelihara salah satu seni budaya kita; mereka akan memuji R.O Winstedt yang berjaya mengeluarkan buku cerita rakyat...” ucapannya di Universiti Malaya  pada 19 Jun 1982

Dalam tahun 1986 Pak Zek dipilih sebagai Tokoh Budaya Pahang dan pada tahun 24 Okt 1987 telah dianugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) dengan gelaran Dato’ oleh KDYMM Sultan Pahang.

KOMEN

Walaupun tajuk buku  ‘Asal Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang'; buku ini banyak mencerita sejarah dan peristiwa yang amat berharga kepada generasi akan datang. Sejarah/Peristiwa penting untuk kita ingati dan menjadi satu pengajaran kepada kita. Tokoh-tokoh yang menyimpan, menulis berkenaan dengan fakta sejarah memang patut kita contohi dan sanjungi. Mengapa tulisan Dr W.Linehan, R.O Winstedt menjadi bahan rujukan sejarah negara kita, tiadakah penulis sejarah tempatan yang setanding dengan mereka….fikir-fikirkanlah.

Rabu, 17 November 2010

Buat permohonan naik taraf jalan kampung : Dato Wan Rosdy

Salah satu jalan ke kampung Aur Gading
KUALA LIPIS 15 Nov. - Dua jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di sini diminta membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menaik taraf jalan kampung sejauh enam kilometer antara Kampung Pamah Aur dengan Kampung Seberang Jelai dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, walaupun jarak jalan itu adalah pendek tetapi permohonan bertulis perlu dilakukan kerana ia membabitkan dua kampung.
''Kedua-dua JKKK terbabit perlu membuat permohonan kepada kerajaan negeri menerusi Majlis Daerah Lipis (MDL) supaya dapat dipertimbangkan projek menaik taraf jalan itu berasaskan keperluannya sebagai jalan pertanian dan keselesaan penduduk berulang alik ke bandar.
''Kerajaan negeri prihatin dengan masalah ini kerana ia merupakan alat perhubungan untuk memunggah hasil kampung dan laluan ke tempat kerja penduduk kampung berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanjong Gahai dekat sini baru-baru ini.
Wan Rosdy mengulas surat pembaca yang tersiar dalam ruangan Rakan Pahang 29 Oktober lalu mengenai aduan penduduk yang dikenali sebagai 'Ismail, Lipis' yang meminta kerajaan negeri menaik taraf jalan yang berusia 30 tahun sejauh enam kilometer antara Kampung Bukit Juar ke Kampung Seberang Jelai.
Penduduk terbabit mendakwa, jalan itu perlu dinaiktaraf memandang ia menjadi laluan utama untuk membawa hasil kampung ke bandar ini dan merupakan laluan pintas penduduk Kampung Bukit Kota, Kampung Pamah Aur, Kampung Aur Gading, Kampung Sungai Koyan, Kampung Chegar Perah dan Kampung Beriang terus ke jalan utama, Jalan Lipis-Gua Musang.
Jalan berkenaan juga dikatakan menjadi laluan pintas penduduk Kampung Bukit Kota, Kampung Bukit Betong, Kampung Pamah Aur dan Kampung Bukit Juar ke tempat kerja di Kawasan Perindustrian Kechau, Lipis.
Wan Rosdy berharap kedua-dua JKKK terbabit mengemukakan permohonan dengan segera mengikut saluran yang betul untuk dipertimbangkan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai tidak menolak kemungkinan projek berkenaan memang sedang dalam perhatian pentadbiran daerah Lipis.
Sehubungan itu, tambahnya, penduduk di dua kampung terbabit diminta bersabar kerana kerajaan negeri tetap memberi keutamaan terhadap projek pembangunan luar bandar. Utusan Malaysia

Ahad, 14 November 2010

Peneroka Felda

Mula-mula menjejaki tanah rancangan Felda
Matlamat kerajaan menubuhkan Felda secara dasarnya ingin mengeluarkan masyarakat luar Bandar daripada kepompong kemiskinan. Mereka diberi ladang untuk diusahakan termasuk tanah mendirikan rumah.

Kehidupan peringkat awal di tanah rancangan sememangnya begitu sukar tanpa kemudahan pasarana yang lengkap.  Segala-galanya serba kekurangan tanpa kemudahan elektrik dan air.

Ini menjadikan kehidupan mereka di tengah hutan belantara bagai terputus dengan dunia luar. Kesusahan hidup yang dilalui juga menyebabkan ada peneroka yang mengaku kalah lalu meninggalkan tanah rancangan

Kesusahan hidup disebabkan turun naik harga komuditi menyebabkan kehidupan peneroka tidak menentu pernah suatu ketika dahulu, pada tahun 1988-89 harga kelapa sawit  hanya boleh dijual dengan harga RM 45 satu tan berbanding sekarang harga mencecah RM 700 satu tan.

Pada masa itu kebanyakan peneroka berhutang runcit dengan Kedai Felda hingga mencecah ribuan ringgit seorang, ada yang mengambil barang di kedai tersebut seperti beras dan menjual balik kepada pekedai untuk mendapat duit ‘cash’.   Setengah peneroka meninggalkan tanah rancangan buat sementara waktu  menjadi ‘pengawal keselamatan’ di bandar-bandar  besar seperti Kuala Lumpur. 

Tidak dapat dinafikan kehidupan masyarakat peneroka begitu unik mereka sangat berkerjasama, berkerja dalam satu kumpulan (satu kumpulan terdiri dari 22 peneroka) untuk mengeluarkan hasil kelapa sawit.  Pada masa harga sawit meningkat dahulu mereka mampu membeli sebuah traktor untuk menggangkut hasil ladang sawit ke kilang. Mereka juga akan bermesyuarat tiap-tiap bulan memikir untuk meningkatkan hasil sawit.   

Itulah cara kerja atau semangat peneroka semasa mereka menjadi mula-mula menjadi  peneroka.  Tapi pada hari ini peneroka itu tidak mampu untuk melaksanakan tugas lagi dek kerana usia atau sudah meninggalkan kita semua.  Ladang mereka sudah diserah kepada Felda untuk dijayakan. Felda pula telah men’sub’kan pula pada sebuah badan untuk menjayakan tugas tersebut. 

Hasilnya pada hari ini  peneroka seperti orang pencen menunggu duit hasil ladang  tiap-tiap bulan dari ‘Felda’ cukup tahun pula menunggu pengumuman duit bonus dari PM macam kakitangan kerajaan.

KOMEN

Itu cerita suka duka peneroka Felda bagaimana pula cerita generasi kedua yang tinggal di dalam rancangan Felda.

Selasa, 9 November 2010

RM1.63 juta bantu pekebun kecil di Pahang

Harga Skrap RM 5.90 kg
KUANTAN 8 Nov. - Risda memperuntukkan sebanyak RM1.63 juta untuk membantu pekebun kecil di negeri ini meningkatkan pendapatan mereka menerusi pelbagai aktiviti ekonomi pada tahun ini.
Pengarah RISDA negeri, Datuk Mujahid Muhamad berkata, bantuan itu disalurkan melalui tiga pakej iaitu Bantuan Tabung Pelancaran (BTP), Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Pakej Bantuan Tambahan (PBT) tahun ini.
Menurut beliau, daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM1.16 juta diperuntukkan untuk meningkatkan ekonomi pekebun kecil melalui AET.
"Pekebun kecil yang terpilih menerima geran bantuan yang bernilai tidak lebih RM10,000 untuk menjalankan aktiviti penternakan atau tanaman kontan sebagai ekonomi tambahan di dalam atau luar kebun masing-masing.
"Setakat ini, seramai 200 penerima mendapat manfaat daripada bantuan tersebut," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Mujahid berkata, pekebun kecil yang mempunyai keluasan kebun kurang daripada 2.5 hektar layak menerima tabung bantuan tambahan berjumlah RM1,500 setahun.
"Sehingga kini, terdapat 300 pekebun kecil seluruh Pahang menerima bantuan ini yang melibatkan jumlah keseluruhan RM400,000.
"Bagi persatuan pekebun kecil pula, Risda memperuntukkan bantuan melalui BTP sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 setahun untuk ahli jawatankuasa melaksanakan pelbagai aktiviti," katanya.
Beliau berkata, agihan BTP dibuat berdasarkan keluasan kebun iaitu RM2,000 bagi 12 hingga 24 hektar manakala RM3,000 bagi kawasan yang lebih daripada 24 hektar.
"Berkuat kuasa 1 September lalu, pekebun kecil juga menerima kenaikan bantuan daripada RM7,000 kepada RM9,230 setahun.
"Bagi bantuan ini, kami memperuntukkan kira-kira RM50 juta kepada pekebun kecil yang layak," katanya.
Mujahid menambah, walaupun harga getah meningkat hingga mencecah RM12 sekilogram, Risda tetap prihatin apabila jumlah bantuan tidak diturunkan sebaliknya, ditambah dalam usaha meningkatkan ekonomi pekebun kecil di negeri ini.
"Pekebun kecil yang memiliki kebun getah disarankan mengambil peluang daripada kenaikan harga komoditi itu untuk meningkatkan hasil pengeluaran.
"Kami sasarkan pengeluaran sebanyak 2,000 kilogram bagi setiap hektar setahun dan jumlah itu boleh dicapai berdasarkan pengeluaran semasa yang kini mencecah 1,800 kilogram sehektar berbanding hanya 1,600 kilogram pada tahun sebelumnya," katanya.
Katanya, pekebun kecil juga disaran menggunakan teknik dan teknologi torehan terkini supaya hasil dapat dikeluarkan secara berterusan walaupun ketika hujan.
"Secara umumnya, setiap pokok getah sepatutnya ditoreh 15 kali dalam sebulan dan kami mendapati pekebun melakukan aktiviti torehan kurang daripada jumlah tersebut, sekali gus menjejaskan peluang meningkatkan pendapatan," katanya.

 KOMEN
Dengan peningkatan harga Getah Skrap sekarang ini, banyak aduan kehilangan getah skrap di kebun-kebun. Melalui Lembaga Getah Malaysia kerajaan telah mengalakan pekebun kecil memiliki 'Kad Pendaftaran Jualan Pekebun Kecil Getah' keterangan lanjut boleh lihat Laman Web Lembaga Getah Malaysia. Borang Muat turun Pengusaha

Sabtu, 30 Oktober 2010

Al Fatihah : Sasterawan Ibrahim Omar

Allahyarham Ibrahim Omar
Sasterawan Ibrahim Omar meninggal dunia di kediamannya di Kampung Mela semalam.
Beliau  dilahirkan pada 17 Jun 1936 di Kampung Jeram Landak, Mela, Lipis Pahang. Pernah belajar di Sek Men Inggeris Clifford, Kuala Lipis sebelum memilih kerjaya sebagai guru dan penulis kreatif berupa novel dan skrip drama Radio Malaysia sejak awal 1960-an.

Kemuncak kejayaan Ibrahim ialah apabila novel "Desa Pingitan" memenangi tempat pertama dalam sayembara anjuran DBP pada tahun 1962 di Kuala Lumpur dan dipilih menjadi buku teks di sekolah menengah bagi Sijil Pelajaran Malaysia dari tahun 1966 hingga 1968.

Beliau meninggalkan banyak antologi cerpen dan 50 buah novel. Antaranya:

"Desa Pingitan" DBP 1964 diterjemah ke dalam bahasa Inggeris

 "Embun dan Tanah" PMB 1965

“Hilang" PNS 1966

"Hujan Panas" PTKT 1966

"Patah Galah Haluan Perahu" UM 1973

"Tiba Masanya" UP&D 1977

Kali terakhir Ibrahim menghadiri majlis ilmu di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis empat bulan lalu. Watak beliau sebagai insan merendah diri serta gemar bercakap tentang motivasi, falsafah dan selitan jenaka bermutu.- Al Fatihah

Blog Seterusnya

           

AddToAny