Ahad, 31 Disember 2017

Generasi ke-2 Felda : Sekatan Undang-Undang

Sekatan Undang-Undang Dalam Urusan Melibatkan Tanah Felda

Bapa mertua saya adalah peneroka felda. Saya dapati banyak kes dan permasalahan yang timbul apabila melibatkan tanah felda ini dari segi perundangan.

Ramai peneroka yang menjual dan memajakkan tanah felda yang mereka perolehi kepada pihak ke tiga. Alasan mereka, mereka sudah tidak hendak lagi duduk di felda dan hendak balik kampung.

Ada juga peneroka yang berbalah sesama anak beranak untuk memindahmilikkan tanahnya kepada anak-anak yang mereka paling sayangi.

Bukan setakat itu sahaja, apabila sahaja peneroka tersebut meninggal dunia, waris-waris berbalah pulak sesama sendiri dari segi pembahagian harta pusaka.


Ditambah lagi dengan tuntutan harta spencarian oleh bekas isteri yang telah bercerai dan sebagainya. Semua ini adalah masalah biasa dihadapi oleh komuniti felda apabila melibatkan tanah felda.

Status Tanah Felda

Tahukah anda, sebenarnya tanah felda ini statusnya tidak sama macam tanah biasa. Ianya tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967. Oleh itu terdapat sekatan-sekatan dari segi perundangan yang terpakai kepada tanah felda.

Sekatan-Sekatan Perundangan

Tanah tapak rumah dan ladang adalah berstatus tanah berangkai. Ianya tidak boleh dipisah bahagi selama lamanya. Maknanya, peneroka tidak boleh memisahkan tapak rumah sebagai satu bahagian, dan tapak ladang sebagai satu bahagian. Kedua-duanya mestilah dimiliki bersekali selama lamanya. Ianya juga tidak boleh dipecah bahagi kepada tanah lot-lot kecil.
Tiada sebarang urusan jual beli, pindah milik, gadaian, sewaan, hibah, wasiat, wakil kuasa (PA) dan sebagainya sah dilakukan ke atas tanah felda, sama ada sebahagian atau kesemuanya,  melainkan dengan persetujuan bertulis daripada pihak felda terlebih dahulu.
Ini kerana status hakmilik ke atas tanah felda adalah status pemilikan tidak sempurna. Segala transaksi melibatkan tanah felda mestilah tertakluk kepada kebenaran pihak felda.


 Walaupun tanah felda itu telah dikeluarkan geran individu, tetapi ianya tetap tidak boleh dianggap sebagai milikan sempurna oleh peneroka. Ini kerana ada perjanjian di antara peneroka asal dan pihak felda yang mengikat kedua-dua belah pihak yang menyebabkan milikan itu dianggap bukanlah milikan sempurna oleh peneroka.

Penama di atas geran hendaklah tidak melebihi 2 orang sahaja dalam satu masa. Ertinya, sekiranya seseorang peneroka itu ada 5 orang anak, peneroka tersebut hanya boleh memindahmilikkan bahagian nya dalam geran kepada 2 orang anaknya sahaja. Itu pun tertakluk kepada kebenaran bertulis daripada pihak felda terlebih dahulu.

Dari segi pewarisan harta setelah peneroka tersebut meninggal dunia pula, tanah felda hanya boleh diletakkan nama 2 orang waris sahaja dengan persetujuan daripada semua waris. Biasanya dengan cara penama tersebut membeli bahagian hak waris-waris yang lain.

Sekiranya waris-waris tidak bersetuju, pejabat pusaka kecil atau mahkamah berhak melantik 2 orang penama di dalam geran sebagai pentadbir harta. Menjadi tanggungjawab pentadbir harta untuk membahagi-bahagikan hasil dan manfaat yang diperolehi daripada tanah felda tersebut kepada waris-waris yang sah mengikut bahagian yang telah diputuskan.

Dari segi tuntutan harta sepencarian pula, tanah felda ini boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Walaubagaimanapun, bahagian peratusan masing-masing adalah tertakluk kepada mahkamah syariah untuk tentukannya. Dan bahagian tersebut tidak boleh dipecah bahagikan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kepada peneroka dan generasi kedua felda, adalah wajib bagi anda memahami perkara ini dan bersedia dari awal lagi dengan langkah-langkah terbaik dari segi perancangan harta untuk mengelakkan sebarang perbalahan  melibatkan tanah felda ini timbul di kemudian hari.

Ketahuilah, untuk mereka yang bercadang hendak beli tanah felda, berfikir lah banyak kali. Kerana ianya adalah pembelian yang berisko. Jika bernasib baik, tanah tersebut mungkin dapat dipindahmilikan kepada anda. Tetapi jika tidak bernasib baik, duit habis, hakmilik tanah tak dapat. Beringatlah!

Sekian, terima kasih,

Yang benar,

SALKUKHAIRI ABD SUKOR

Presiden


Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Tiada ulasan: