responsif teks foto

Khamis, 6 November 2008

Masih Ada Rezeki di Hutan



Ahmad a/l Selalu

Tok Empat Betau

KUALA LIPIS 5 Nov. - Masyarakat Orang Asli merupakan kumpulan minoriti yang terdiri daripada pelbagai suku yang hidup di kawasan terpencil dan pedalaman di negara ini.

Sesuai dengan kehidupan terpencil di pedalaman, Orang Asli menjadikan hutan rimba sebagai tempat untuk mencari rezeki bagi menyara hidup sejak dari zaman berzaman.

Sesetengah Orang Asli mempunyai penempatan tetap yang disediakan oleh kerajaan dan sebahagian mereka telah mengubah cara hidup dan tinggal di bandar selain berkerjaya profesional.

Namun masyarakat Orang Asli tidak boleh lari dengan cara hidup di hutan kerana sebelum negara merdeka, kaum itu tinggal di belantara, kaki bukit, tepi sungai dan berpindah-randah untuk mencari keperluan makanan.

Walaupun pembangunan pascamerdeka sudah dirasai kesannya di kawasan luar bandar dan pedalaman, tetapi sebilangan besar Orang Asli lebih suka memilih hutan sebagai tempat mencari rezeki.

Pada masa yang sama, segelintir daripada mereka masih berpegang kepercayaan kepada roh dan semangat.

Mereka mendakwa, hutan punca segala rezeki, penyembuh penyakit, perkuburan si mati, pertemuan jodoh, kediaman hantu dan beberapa perspektif yang berkait dengan budaya dan kepercayaan animisme.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa perkampungan Orang Asli di daerah Lipis, Jerantut dan Temerloh mendapati kebanyakan Orang Asli masih betah dengan kehidupan hutan kerana dapat meneroka hasil seperti herba, rotan, gaharu, berhuma dan binatang liar sebagai sumber makanan.

Tok Batin Kampung Pian, Kuala Krau dekat sini, Muhamad a/l Kuang, 56, berkata, Orang Asli memilih hutan kerana sumber ekonomi dan banyak hasil tumbuh- tumbuhan yang boleh dicari untuk dijual bagi menjana pendapatan lumayan.

''Ini kerana orang luar (peniaga di bandar) perlukan bahan tertentu seperti rotan dan gaharu untuk dikomersialkan. Kami masuk ke hutan untuk mendapat hasil berkenaan yang dijual dengan harga yang mahal," katanya ketika ditemui di kampung itu baru-baru ini.

Menurut Muhamad, pekerjaan lain khususnya di sektor kerajaan dianggap tidak begitu sesuai dengan masyarakat itu ditambah lagi tanpa kemahiran dan pengetahuan menyebabkan Orang Asli memfokus hutan sebagai lubuk pekerjaan.

Pendapat itu disokong oleh seorang penduduk Kampung Sentol, Betau dekat sini, Rahman a/l Bahaudek, 41, yang menganggap hutan masih lagi didominasi kaum Orang Asli.

''Didikan ibu bapa dan budaya Orang Asli antara sebab kaum itu termasuk remaja dan belia berminat masuk ke dalam hutan untuk mencari rezeki," katanya.

Menurut beliau, sejak kecil anak-anak Orang Asli dibawa oleh ibu bapa mereka masuk ke hutan ketika mencari rezeki sekali gus menerapkan budaya berkenaan kepada generasi hari ini agar mencintai hutan.

Warga emas Kampung Sungai Kiol, Jerantut, Taib a/l Pandak, 70, berkata, dia menganggap Orang Asli tidak boleh hidup tanpa hutan kerana banyak khazanah yang bernilai tinggi di kawasan itu.

''Selain rotan, saya ke hutan setiap hari untuk mencari akar kayu (herba) untuk dibuat ubat dan mendapatkan kayu yang sesuai untuk dijadikan ukiran," katanya.

Taib yang berketurunan suku Jahut seterusnya berkata, sumpitan dan ukiran kayu berbentuk objek tertentu dijual kepada pelancong sebagai cenderamata dan hiasan rumah.

Tok Batin Kampung Betau, Ahmad a/l Selalu, 44, berkata, latar belakang keluarga merupakan antara sebab sesetengah Orang Asli memilih masuk ke hutan untuk mencari rezeki. Bagaimanapun ada yang telah meninggalkan amalan lapuk yang sering berpindah randah untuk memilih penempatan di dalam hutan.

''Inilah punca masalah keciciran berlaku di kalangan anak Orang Asli apabila ibu bapa selalu membawa anak-anak masuk ke hutan berminggu-minggu lamanya untuk mencari hasil untuk dijual kepada pihak luar," katanya.

Tambahnya, hanya pendidikan dan motivasi mengenai kehidupan yang lebih terancang daripada pihak kerajaan mampu mengubah cara hidup Orang Asli daripada terus berburu di hutan kepada berkhidmat di sektor awam atau swasta - Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

AddToAny