KUALA LIPIS 18 Nov. - Sebanyak 400 jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di seluruh Pahang akan terlibat dalam program Jati diri Kesukarelaan Nasional (PJKN) pada tahun depan.
Presiden Majlis Belia Pahang (MBP), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, JKKK terbabit akan menjadi keluarga angkat kepada pelajar yang terlibat dalam program berkenaan.
''JKKK akan mengatur projek inap desa selain menjadi keluarga angkat pelajar berkenaan," katanya ketika merasmikan majlis penutup program PJKN peringkat daerah di Kampung Kuala Medang dekat sini hari ini.
Hadir sama Ketua Kampung Kuala Medang, Ismail Mat Sam; Pengerusi Belia 4B Remaja Pahang, Ahmad Daniar Ismail dan Pegawai Kepimpinan dan Sahsiah Jabatan Belia dan Sukan, Nordin Idris.
Program kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Gerakan Belia 4B Kuala Medang dan Pejabat Pelajaran Daerah Lipis itu membabitkan seramai 149 pelajar tingkatan tiga dari sekolah-sekolah menengah daerah Lipis dan Raub yang tinggal bersama 30 keluarga angkat selama empat hari menerusi Projek Inap Desa di kampung tersebut.
Abdul Fattah yang juga Ahli Majlis Perunding Belia Kebangsaan berkata, seramai 800 pelajar sekolah menengah Pahang menjalani PJKN sepanjang tahun ini.
''Pelajar berkenaan bakal menjadi perintis kepimpinan dalam program Briged Rakan Muda yang bakal dijadikan kokurikulum di sekolah menengah tidak lama lagi," katanya.
MBP dan Jabatan Belia dan Sukan, katanya, sentiasa bekerjasama mengatur program PJKN bagi melatih pelajar dalam aspek kepimpinan, kemahiran komunikasi, pengurusan organisasi dan menyelami kehidupan masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, program itu juga dapat mengisi masa lapang pelajar sepanjang cuti persekolahan dengan kegiatan berfaedah.
Dalam pada itu, beliau menambah, pihaknya bimbang terhadap nilai-nilai sukarelawan yang semakin terhakis di kalangan generasi muda pada masa ini.
Golongan muda kini, tegasnya, semakin mementingkan diri sendiri dan kebendaan tanpa mengambil peduli masalah yang dihadapi pihak lain.
Antara faktor menyebabkan keadaan sedemikian berlaku, katanya, ialah ledakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang semakin hebat dalam era globalisasi ini.
''Pupuklah semangat ini bermula di peringkat kanak-kanak dan remaja agar saling bantu-membantu dan menjadi teras kepada perpaduan masyarakat negara ini," katanya. - Utusan Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan