responsif teks foto

Rabu, 13 Mei 2020

Melayu takut DAP

MENGAPA TUN BEGITU TAKUT KEPADA NAJIB?

Kehadapan Tun Mahathir,

Tadi saya terbaca karangan panjang Tun mengatakan bahawa orang-orang Melayu begitu takut kepada DAP.

Di samping mempertahankan DAP, Tun juga kata bahawa DAP tidak akan menghancurkan Melayu tetapi Melayu akan hancur jika memilih Najib sebagai pemimpin.

Tun juga memanggil pelbagai nama makian dan kejian kepada Najib seperti penyangak, penyamun, kleptokrat dan sebagainya dan menggelar orang-orang Melayu yang menyokong Najib (dan tidak menyokong DAP) sebagai bacul.

Sebenarnya, apabila seseorang mengkeji orang dengan ayat-ayat makian seperti di atas, ia menggambarkan sahsiah orang yang mengkeji tersebut dan bukannya orang yang dikeji.

Dan walaupun pemimpin-pemimpin DAP ada yang terpalit dengan skandal rasuah yang besar namun Tun tidak endahkan hal itu malah melepaskan mereka begitu sahaja.

Bercanggah dengan apa yang Tun katakan, orang-orang Melayu tidak takut kepada DAP, sebab itu mereka berani tinggalkan DAP dan buang mereka (DAP) dari kerajaan.

Ini adalah walaupun orang-orang Melayu tahu bahawa DAP mempunyai jaringan taikun-taikun perniagaan dan ekonomi yang besar yang boleh menjaga tembolok segelintir orang-orang Melayu yang berkepentingan ataupun menjatuhkan mereka.

Nasib baik masih ramai pejuang-pejuang orang Melayu yang ikhlas yang bukan berjuang untuk tembolok sendiri.

Tun mungkin lupa apabila DAP berkuasa dalam kerajaan selama 22 bulan, pemimpin-pemimpin mereka secara lebih berani dan terang-terangan menyemarakkan prejudis dan api perkauman dan telah menghina orang-orang Melayu, Raja-raja Melayu dan Agama Islam, mempersoalkan hak-hak orang-orang Melayu dan status Agama Islam dalam Perlembagaan, menerukkan Islamofobia, menakut-nakutkan bukan Melayu kepada tulisan jawi, mengagung-agungkan Chin Peng dan menggelar pengganas komunis sebagai pejuang, dan banyak lagi perkara yang memburukkan kebencian di antara rakyat. 

Orang-orang Melayu yang menentang perbuatan dan hasutan-hasutan di atas tersebut tidak bacul, malah sebaliknya orang-orang yang membiarkan sahaja perkara-perkara di atas berlaku di bawah hidung mereka itulah sebenarnya yang bacul.

Dan amat mengecewakan orang-orang Melayu apabila orang yang tidak berani tinggalkan DAP adalah Tun. 

Mungkin sebab kroni-kroni yang menjaga kepentingan Tun adalah taikun-taikun yang sama yang menyokong DAP.

........

Tun juga kata British tidak pernah menawan Tanah Melayu malah orang-orang Melayu kononnya yang telah menjemput British untuk menjadi penasihat mereka.

Kenyataan Tun ini bukanlah fakta kerana orang-orang Melayu tidak pernah menjemput British untuk menjajah mereka mahupun menjadi sebagai penasihat.

British telah datang dengan kapal perang dan meriam dan berunding dengan Belanda untuk menyerahkan Tanah Melayu kepada mereka (British) tanpa dijemput oleh orang-orang Melayu.

Tun juga kata bahawa kita telah memboikot barangan British dengan kempen "Buy British Last" pada tahun 1981 apabila Tun menjadi Perdana Menteri kerana British telah terbangkan pesawat Concorde di ruang udara tanpa izin Malaysia.

Namun ini bukanlah sebab dan fakta sebenar kerana apa yang Tun tidak beritahu ialah pada masa yang sama ketika itu Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Tun telah mengalami kerugian sebanyak beratus-ratus juta ringgit akibat kegagalan "perjudian" spekulasi harga bijih timah oleh Tun di London Metal Exchange kerana tindakan kerajaan British yang menganggap Tun cuba menipu mereka dengan spekulasi harga hadapan bijih timah.

Walaupun ianya salah Tun, Tun marah kepada mereka dan memboikot barangan mereka.

Dan apabila Malaysia mengalami krisis ekonomi paling teruk dalam sejarah pada tahun 1997-1999, Tun cepat menyalahkan penyangak matawang yang telah menyerang sistem kewangan negara.

Namun apa yang Tun tidak beritahu ialah mereka telah menyerang kerana sistem kewangan negara yang lemah di bawah pentadbiran Tun pada ketika itu di mana pentadbiran Tun juga terlibat dalam spekulasi matawang dan menipiskan rizab Bank Negara.

........

Saya tidak faham mengapa Tun begitu takut dengan Najib.

Tun tidak perlu salahkan Najib atau mengkeji Najib lagi. 

Tun tentunya sedang marah kerana anak Tun iaitu Mukhriz baru ditendang sebagai Menteri Besar Kedah buat kali kedua.

Namun Tun mungkin lupa bahawa Najib bukan lagi Perdana Menteri atau Presiden UMNO dan tidak ada kena mengena dengan penyingkiran Mukhriz oleh ADUN-ADUN Kedah semalam.

Setelah sekian lama Mukhriz bergantung kepada Tun dalam kerjaya politiknya, kini tiba masanya dia perlu berdiri di atas kaki sendiri tanpa bertongkat lagi.

........

Saya cadangkan dalam bulan Ramadan yang berkat ini supaya Tun banyakkan amal dan jauhkan dari mengkeji orang lain.

Saya lihat Tun dan DAP kini saling suka menyukai, oleh itu mungkin DAP akan menjemput Tun dan Mukhriz untuk masuk ke parti mereka jika Tun dua beranak ditolak oleh Bersatu.

Namun saya harap Tun tidak tunduk atau akur kepada DAP.

Cukuplah selama ini mereka menggunakan segelintir orang-orang Melayu untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Negara tidak akan stabil dan tidak akan maju dengan prejudis perkauman yang disemarakkan oleh DAP.

Dahulu kita pernah ditipu oleh penjajah British. Kini pada pengakhirannya janganlah kita ditipu oleh DAP pula.

Ikhlas,
ISHAM JALIL
13 Mei 2020Tun Mahathir 

Tiada ulasan:

AddToAny