responsif teks foto

Selasa, 16 Jun 2020

Harga Sawit terus Meningkat


Harga minyak sawit negara terus meningkat

Oleh Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Harga minyak sawit Malaysia menyaksikan peningkatan apabila sudah mencecah RM2,400 setan, selain Turki dijangka menjadi negara pengimport baharu kepada komoditi itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata permintaan itu dipengaruhi usaha kerajaan memperkenal pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas industri berasaskan minyak sawit selama enam bulan sehingga Disember ini.

"Walaupun pandemik COVID-19 belum berakhir sepenuhnya, namun terdapat peningkatan permintaan daripada India dan negara lain termasuk yang terbaru adalah Turki.

"Turki bukan hanya mahukan minyak sawit mentah (MSM) kita, bahkan mereka juga sedang memperhalusi produk kita di pasarannya," katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan terperinci bersama India berkaitan permintaan minyak sawit Malaysia ke negara itu.

"Kita mempunyai bekalan cukup untuk menampung permintaan dari luar negara, cuma kita menggalakkan lebih ramai anak muda terbabit dalam estet sawit kerana masih banyak buah sawit belum dituai.

"Jika kita dapat tuai lebih banyak, maka lebih besar pengeluaran minyak sawit kita. Tahun lalu, kita hanya mampu bekalkan 20 juta tan sawit dan berharap ia dapat ditambah tahun ini," katanya.

Khamis lalu, media melaporkan niaga hadapan minyak sawit Malaysia melonjak berikutan peningkatan keyakinan negara pengguna utama seperti India, China dan Pakistan akan meningkatkan pembelian selepas tertangguh akibat penularan pandemik COVID-19.

Kontrak hadapan minyak sawit untuk Ogos meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada RM2,381 satu tan, sebelum didagangkan pada RM2,378 pada waktu rehat tengah hari.

Angka itu selaras dengan laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang menunjukkan simpanan minyak sawit negara turun untuk pertama kalinya dalam tempoh empat bulan menjadi 2.03 juta tan bulan lalu daripada 2.04 juta tan pada April.


2 ulasan:

Warisan Petani berkata...

Alhamdulillah

miao sai berkata...

ayo daftarkan diri anda di a*g*e*n*3*6*5 :D
WA : +85587781483

AddToAny