Kerajaan Pahang kesal dengan isu warga asing dan pencemaran di Cameron Highlands kerana dalangnya membabitkan rakyat tempatan sendiri yang tamak dan tidak bertanggungjawab.
Menteri Besar Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lebih menyedihkan, ada pekebun membuka tanah secara haram untuk tujuan pertanian tanpa memikirkan kesan buruk terhadap alam sekitar.
Katanya, tanah itu dibuka melebihi syarat diluluskan dengan menceroboh rizab jalan, tebing sungai, cerun bukit dan disewakan kepada warga asing untuk mendapatkan keuntungan semata-mata.
"Sudah tentu, sekiranya tanah haram ini diusahakan oleh warga asing, prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan tidak akan dituruti, sekaligus menyebabkan bukan sahaja kerosakan tanah tetapi juga pencemaran air dan udara.
"Dengan keluasan 700 kilometer persegi dan mempunyai kepadatan penduduk seramai 33,000 orang, jika kerajaan negeri terus membiarkan pertanian tidak terkawal, ditambah pula dengan tanah haram yang dibuka oleh penduduk tempatan dan warga asing, apakah nasib Cameron Highlands pada masa akan datang.
"Oleh yang demikian kerajaan Pahang mengambil langkah drastik mengawal aktiviti berkebun secara komersial di Cameron Highlands, yang mana salah satu daripada caranya adalah dengan menaikkan sewa tanah untuk tujuan pertanian," katanya menerusi Facebook, hari ini.
Sayur dari Cameron Highland |
Wan Rosdy berkata, kadar sewaan sebanyak RM4,500 setahun atau RM375 sebulan ini bukanlah jumlah yang terlalu besar bagi pihak yang ingin menjadi pekebun secara komersial di Cameron Highlands.
Katanya. pulangan mereka dianggarkan antara RM5,000 hingga RM15,000 sebulan bagi setiap ekar tanah.
"Namun bagi mereka yang berniat menyewakan tanah ini kepada warga asing atau pihak lain akan merasakan ini satu beban, sedangkan perubahan nilai ini amatlah sedikit bagi pekebun yang sebenar.
"Kerajaan Pahang tidak mahu lagi melihat tanah di Cameron Highlands diusahakan oleh golongan warga asing yang mendapat sewa di atas sewa daripada penyewa warga tempatan.
"Ada pihak yang tidak jujur menyatakan bahawa kadar sewaan tanah di Cameron Highlands dinaikkan sehingga 500 peratus, ini satu tuduhan berniat jahat dan salah.
"Nilai RM4,500 setahun ini termasuk cukai tanah, cukai pintu, caj penggunaan sumber air, caj alam sekitar dan caj pengurusan sisa pertanian.
"Dengan wang sewaan ini kerajaan negeri akan melaksanakan pemeliharaan dan pemuliharaan semula Cameron Highlands sekaligus dapat menampung sebarang kerosakan di kawasan ini.
"Kita perlu sedar, Cameron Highlands bukanlah pusat pertanian semata-mata tetapi juga pusat peranginan dan khazanah negeri Pahang Darul Makmur yang wajib dipelihara dan dijaga bersama," katanya.
kredit Asrol Awang Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan