responsif teks foto

Khamis, 30 Julai 2020

Penguna Jalan Raya Kuala Tahan – Jerantut jumpa Tapir.



Pengguna jalan raya dari Kuala Tahan ke Jerantut hari ini mungkin 'bertuah' kerana dapat melihat seekor tapir berkeliaran mencari makanan di ladang sawit Felcra Tembeling Tengah berdekatan Kuala Tahan dekat sini.

Tapir yang juga dikenali sebagai tenuk atau cipan itu ditemui berkeliaran di ladang sawit kawasan itu pada pukul 7.15 pagi hari ini ketika penduduk mula keluar ke bandar Jerantut bagi membeli barang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, esok. 

Penduduk Kampung Kuala Sat, Zulkefly Jamaludin, 56, berkata, dia memberhentikan kenderaannya apabila beberapa orang pengguna jalan raya menunjukkan ke arah seekor tapir di ladang sawit berdekatan jalan itu. 

"Kesempatan jarang bertemu atau tidak pernah langsung bersua dengan haiwan liar yang warna kulitnya bertompok putih dan hitam ini menyebabkan ada kalangan mereka yang sangat teruja sehingga terus merakamkan gambar menerusi gajet (telefon) masing-masing.

"Haiwan liar ini asyik mencari makanan sehingga tidak mempedulikan langsung beberapa orang pengguna jalan raya merakamkan gambar termasuk suara kita (manusia) bercakap," katanya kepada PahangStory di sini hari ini.

Menurut Zulkefly, haiwan liar itu cuma 'membenarkan' pengguna melihat serta merakamkan gambarnya kira-kira lima minit dan kemudiannya bergerak meninggalkan kawasan berdekatan jalan tersebut. 
Katanya, kejadian hidupan liar dari hutan tropika Taman Negara dan Hutan Rezab Tekal Tembeling berdekatan situ keluar berkeliaran ke kawasan kampung dan melintas jalan raya merupakan fenomena biasa bagi penduduk di situ.



"Selain tapir, kita lebih kerap terserempak dengan kawanan gajah di ladang sawit dan masuk kampung pada waktu malam untuk mencari makanan.

"Ini kerana habitat haiwan liar di kawasan hutan Hulu Tembeling sudah diganggu oleh manusia dengan aktiviti pembalakan dan perladangan sehingga fauna berkenaan mengalih perhatian ke kawasan kebun dan kampung untuk memperoleh makanan," ujarnya.

Kredit : Haris Fadilah Ahmad

PahangStory.


Tiada ulasan:

AddToAny