responsif teks foto

Khamis, 1 Julai 2021

Lagi RM6.03 juta bantu rakyat Pahang

 


KENYATAAN MEDIA MENTERI BESAR PAHANG
 
Lagi RM6.03 juta bantu rakyat Pahang terkesan COVID-19
Lanjutan kepada sumbangan menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 secara bersasar Fasa 1 dan Fasa 2 bernilai RM17.10 juta sebelum ini, sukacita saya umumkan bantuan lagi RM6.03 juta di bawah Fasa 3 pula.
 
Bantuan ini dalam bentuk pengagihan bakul makanan yang terdiri daripada pelbagai bahan makanan keperluan harian, kepada mereka yang terlibat.
 
Di bawah Fasa 3 ini, tumpuan ialah kepada pelbagai golongan rakyat lagi termasuk kumpulan penjaja yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agihan akan diuruskan oleh PBT-PBT berkaitan.
 
Turut akan menerima bantuan di bawah Fasa 3 ini ialah nelayan yang berdaftar di Pahang serta operator dan pekerja kantin dan dewan makan asrama sekolah.
 
Selain itu, bantuan kali ini juga ialah tambahan kepada bantuan sama yang telah disalurkan sebelum ini menerusi Pusat-Pusat Khidmat Dewan Negeri, bagi menampung keperluan mana-mana golongan/individu yang sangat terkesan dengan COVID-19.

Dengan bantuan di bawah Fasa 3 selain Fasa 1 dan 2 sebelum ini bermakna, Kerajaan Negeri berbelanja kira-kira RM23.13 juta menerusi BPP COVID-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 12 Mei 2021.

Keputusan Kerajaan Negeri menambahkan lagi bantuan ini ialah kerana sikap mengambil kisah dan mengambil beratnya ke atas masalah rakyat hadapi khususnya yang terkesan teruk dengan COVID-19 serta arahan-arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membendungnya.

Sungguh pun bantuan ini dianggap kecil bagi sesetengah pihak namun kepada yang benar-benar terkesan, ia tentu sesuatu yang melegakan dan Kerajaan Negeri bersyukur dapat turut meringankan beban mereka.
 
Sesungguhnya juga - bak kata perbilangan; sedikit tanda ingat, banyak tanda ada.

DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
1 Julai 2021



Tiada ulasan:

AddToAny