Para pengunjung tetap surau masjid tentu sangat terasa apabila tidak dapat lagi melakukannya sepertimana biasa disebabkan oleh Covid-19. Tentu ada kalangan mereka yang terasa seolahnya mereka kerugian pahala kerana tidak dapat ke masjid. Namun, sebenarnya tidak begitu. Rahmat Allah sangat luas memberikan pelbagai ruang berpahala kepada hambanya termasuk ketika sakit dan uzur. Kepada siapa yang menjadi pengunjung tetap masjid kemudian terhalang ke masjid kerana sakit dan sebagainya mereka tetap beroleh pahala ibadat tersebut. Apatah lagi mereka tidak ke masjid kerana arahan pemerintah bagi menjaga keselamatan nyawa rakyat dalam menghadapi bahaya Covid.
Dalilnya ialah Hadis Nabi (saw) buat mereka yang tidak keluar berjihad bersama Nabi saw disebabkan keuzuran bahawa mereka tetap beroleh pahala:
إنَّ بالمَدِينَةِ لَرِجَالًا ما سِرْتُمْ مَسِيرًا، وَلَا قَطَعْتُمْ وَادِيًا، إلَّا كَانُوا معكُمْ، حَبَسَهُمُ المَرَضُ.
وفي رواية : إلَّا شَرِكُوكُمْ في الأجْرِ.
Sesungguhnya di Madinah terdapat orang-orang yang mana kamu tidak berjalan satu perjalanan dan tidak kamu lalui satu lembah melainkan mereka bersama kamu (beroleh pahala). Mereka terhalang (hadir perang Jihad) kerana sakit".
Dalam satu riwayat Baginda bersabda "pasti mereka berkongsi dengan kamu pada pahala"
Hadis Sahih Muslim
Hadis ini disebut di hadapan para Sahabat yang bersama Nabi (saw) keluar berjihad.
Begitu juga mereka yang sakit atau bermusafir lalu tidak dapat mengamalkan ibadat yang selalu dilakukan secara istiqamah mereka tetap diberikan pahala.
Ini selaras dengan sabda Nabi (saw):
إِذَا مَرِضَ العَبْدُ، أوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا.
"Apabila hamba itu sakit atau bermusafir dicatat baginya pahala seumpama apa yang selalu mereka lakukan ketika bermukim tidak musafir juga ketika sihat"
Hadis Sahih Bukhari
Maka usahlah bersedih kerana tidak mampu ke masjid kerana covid. Insyallah pahala tetap dijanjikan oleh Allah apabila ianya merupakan amalan kita yang istiqamah dilakukan sebelum covid berlaku. Malah mentaati pemerintah dalam hal sedemikian demi menjaga keselamatan nyawa rakyat pasti diberikan pahala tambahan pula.
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
4hb Julai 2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan