responsif teks foto

Ahad, 7 September 2025

Masuk SPM, Keluar Diploma

 

 
 
UMUM mengetahui majoriti anggota tentera adalah mereka yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau sering dirujuk sebagai school leavers. Ini bermakna, mereka tidak berpeluang mengikuti sistem pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan oleh yang demikian rata-ratanya tidak mempunyai diploma atau ijazah.

Namun, demi minat, dedikasi serta patriotisme yang menebal pada negara, anggota tentera memilih untuk menyertai perkhidmatan yang sangat sukar ini pada usia yang muda (kira-kira 18 atau 19 tahun).

Walau bagaimanapun, selepas berpuluh-puluh tahun berkhidmat (lazimnya selama 18 hingga 21 tahun), anggota tentera akan meninggalkan perkhidmatan ATM dan berpencen. Ini menjadikan mereka rata-ratanya golongan berpencen awal iaitu pada usia kira-kira 41 tahun.

Pada usia tersebut, mereka bukan sahaja masih muda dan bertenaga. Lebih penting, mereka perlu untuk meneroka alam kerjaya kedua untuk meneruskan kehidupan, dan cita-cita peribadi yang tidak sempat dikejar semasa dalam perkhidmatan ATM.

Namun, yang menjadi cabaran adalah mereka tidak mempunyai apa-apa kelayakan akademik lain selain SPM yang digunakan untuk memohon dan menyertai ATM pada usia muda dahulu.

Perkara ini menjadi salah satu dilema yang sudah lama membelenggu anggota ATM. Akhirnya, ramai yang memilih untuk bekerja sendiri seperti berniaga kecil-kecilan atau, seperti yang dapat kita lihat, tidak kurang yang terpaksa menerima pekerjaan seperti penjaga keselamatan.

Sedangkan, secara logiknya, dalam tempoh 20 tahun lebih perkhidmatan mereka sebagai anggota tentera sudah tentulah mereka sudah menerima pelbagai pendedahan, ilmu, kemahiran serta pengalaman bekerja yang sangat baik. Malah, luar biasa dan sangat berguna.

Justeru, inisiatif Work-Based Learning (WBL) dan Work-Based Award (WBA) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dan beberapa buah Universiti Awam (UA) berpotensi menjadi satu anjakan besar dalam ekosistem pembangunan kompetensi anggota tentera. Ini berpotensi menjadi satu 'game changer' baharu yang menarik.

Ini kerana, berdasarkan struktur dan pengisiannya, WBL dirangka untuk membuka laluan baharu kepada anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menukar pengalaman kerja, kemahiran taktikal dan kepakaran teknikal yang mereka miliki kepada kelayakan akademik formal dalam bentuk diploma yang diiktiraf. Perkara ini bukan sahaja akan menjadi satu nilai tambah yang besar kepada anggota yang terlibat.

Malah, ia akan menyusun semula landskap pembinaan kapasiti kepada bakat tentera sebagai aset negara dalam jangka panjang.

Selain memperlihat tekad Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam usaha memperkasakan kebajikan dan pembangunan modal insan dalam kalangan warga tentera, WBL secara asasnya adalah satu contoh pendekatan inovatif yang mensasarkan penyelesaian yang lebih praktikal kepada isu persaraan anggota tentera.

Ia menjangkaui aspek gaji atau pencen. Sebaliknya melangkah lebih jauh ke arah pengiktirafan kompetensi dan pembinaan laluan kerjaya kedua yang lebih berkualiti dan lebih luas. Kesemua ini demi memastikan satu alam persaraan dan peningkatan taraf hidup pasca ATM yang selesa dan bermaruah.

Selama ini, pelbagai kemahiran tinggi yang dibangunkan oleh anggota tentera kekal terperangkap dalam dimensi dalaman ATM tanpa diterjemahkan sebagai aset yang mempunyai nilai ekonomi di luar perkhidmatan. Pengalaman bertahun-tahun mengendalikan operasi logistik, kejuruteraan mekanikal, kawalan keselamatan strategik, pengurusan kecemasan dan peralatan pertahanan, perkeranian, latihan kecerdasan, pengajian makanan dan pelbagai lagi, sering diabaikan dalam sistem pensijilan konvensional atau akreditasi akademik secara rasmi. Padahal, pengalaman, ilmu, kepakaran serta keupayaan yang dimiliki itu sangat tinggi, bernilai dan melebihi mereka yang mempunyai kelayakan pengajian tinggi secara formal.

Sehubungan itu, adalah tidak mustahil untuk kita melihat Program WBL ini sebagai pemangkin penting dalam merombak struktur atau amalan sedia ada dengan membuka laluan agar satu bentuk kurikulum akademik formal dibangunkan secara selari dengan bentuk tugas dan pekerjaan anggota tentera.

Sebagai contoh, anggota yang berkhidmat dalam bidang kenderaan taktikal dan penyelenggaraan boleh dinilai dan dilatih secara lebih lanjut sehingga layak memperoleh Diploma Perkhidmatan Teknologi Pertahanan.

Anggota yang terbabit dalam pengurusan inventori dan sistem bekalan ATM pula berpeluang mendapatkan Diploma Pengurusan Logistik, selaras dengan kehendak industri logistik dan rantaian bekalan nasional.

Oleh itu, WBL adalah satu inovasi yang bukan sahaja meletakkan pengalaman anggota sebagai kelayakan yang mempunyai nilai pasaran. Sebaliknya, ia mengubah naratif kerjaya tentera itu sendiri daripada kerjaya tertutup kepada satu bentuk mobiliti profesional yang terbuka, menarik dan mempunyai masa depan pasca persaraan yang cerah dan bernilai tinggi.

Pengiktirafan seperti ini bukan sahaja memperkukuh nilai insan tentera dalam ekosistem pertahanan, malah menjadikan mereka sebagai penyumbang sah kepada pembinaan modal insan berkemahiran tinggi negara.

Pelaksanaan model WBL nyata mengangkat ilmu, pengalaman serta kemahiran anggota ATM setaraf dengan organisasi berorientasikan prestasi dalam sektor lain seperti industri minyak dan gas atau sektor penerbangan.

Pendekatan ini juga menanam motivasi intrinsik baharu dalam kalangan anggota, memberikan arah tuju kerjaya yang lebih jelas dan memperkukuh makna serta harga diri dalam profesion ketenteraan yang sebelum ini sering terpinggir dari sudut pembangunan akademik dan pengiktirafan profesional.

Pendekatan WBL yang membawa kepada peluang mempunyai kelulusan diploma disasarkan untuk meningkatkan daya saing bekas anggota dalam sektor swasta dan awam, dengan akses kepada gaji lebih baik, suasana kerja profesional dan mobiliti kerjaya yang lebih progresif.

Impak WBL membolehkan pesara ATM berpeluang mengisi jawatan dalam agensi bantuan bencana, logistik, industri pertahanan swasta, sektor perhotelan, pelancongan, industri kesihatan dan kecerdasan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau membina perniagaan berasaskan kemahiran yang telah diasah selama perkhidmatan.

Transisi ini memperkukuh kedudukan sosial bekas anggota dalam masyarakat dan meletakkan nilai sumbangan mereka pada tahap yang setara dengan pekerja profesional lain.

Setakat ini, sebanyak empat Universiti Awam (UA) iaitu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) tekah bersetuju untuk menyertai program ini, membabitkan kira-kira 10 jurusan dan bentuk pekerjaan yang akan dinilai untuk diberikan diploma.

Ini termasuklah Seni Kulinari, Pengurusan Hotel, Pendidikan Islam, Sains Geomatik, Pengurusan Logistik, Pentadbiran Perniagaan, Perkhidmatan Teknologi Pertahanan, Pengurusan Pejabat dan Teknologi, serta Sains dan Rekreasi.

Selain UA, sebuah IPTS, DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, menyatakan minat menawarkan empat program yang selari dengan pekerjaan dalam kalangan anggota tentera.

Inovasi dan pengenalan program-program yang bersifat transformatif dan memberi peluang kepada pembinaan kapasiti kendiri seperti ini mesti menjadi amalan dan pendekatan baharu yang ditambah dan digandakan.

Bukan sahaja oleh MINDEF dan ATM, tetapi oleh semua agensi Kerajaan. Program yang berupaya mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kebajikan selepas persaraan, dan pada masa sama membuka laluan kepada penyertaan veteran dalam sektor ekonomi strategik negara, mesti menjadi satu fokus yang dijayakan tanpa kompromi.

Dalam kerangka pembangunan nasional yang lebih luas, ATM mesti dilihat sebagai institusi pembentukan modal insan berdisiplin tinggi, dengan kapasiti untuk membekalkan tenaga kerja mahir yang telah teruji dari segi ketahanan, kecekapan dan kesetiaan dalam persekitaran bertekanan tinggi.

Hal ini penting dalam memastikan bakat dan pengalaman warga ATM tidak terbuang begitu sahaja.


Kredit : Asriezam Uda Metro August 30, 2025

Tiada ulasan:

AddToAny