responsif teks foto

Ahad, 29 Ogos 2010

Mempertahankan Pahang dari Jepun

 Gerila Wataniah di Kuala Lipis 1 Dis 1945 sempena pembubaran pasukan Force 136

Pada tahun 1942, semasa zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, Sultan Pahang tidak melarang orang melayu Pahang menubuhkan sebuah pasukan sukarela, iaitu Tentera Wataniah secara sulit untuk menentang pihak tentera Jepun yang menduduki negeri ini.  Tentera Wataniah ini dianggotai oleh kita-kita 250 orang di bawah kepimpinan seorang pemuda Melayu bernama Yeop Mohidden dan dua orang anak watan Pahang iaitu (Tun ) Abdul Razak Datuk Hussin (berpangkat kepten mengetuai satu pasukan dan (Tun) Ghazali Shafie (berpangkat Lt).

Pada 24 Jul 1945 Yeop Mohidden berserta Hj. Abu Jamal dan tiga orang melayu telah bermesyuarat selama empat jam dengan Richardson di Batu Talam Raub, Pahang.  Antara perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat tersebut ialah penubuhan gerakan sulit dengan gelaran ‘Wataniah’.  Selain itu, Yeop Mohidden dicadangkan untuk dilantik sebagai Pegawai Pemerintah pasukan dengan berpangkat Lt Kol dan pegawai lain yang ditauliah oleh Sultan Pahang yang  akan dilantik sebagai Kolonel Kehormat.

Dalam penemuan itu, dipersetujui juga bahawa seorang Pegawai Pemerintah akan dibantu oleh Ajutan berpangkat Mejar. Empat kompeni akan ditubuhkan disetiap daerah, iaitu di Kuala Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh.  Setiap kompeni dibahagikan kepada beberapa seksyen, iaitu organisasi diparas mukim yang dianggotai oleh 15 hingga 20 orang.  Disamping itu, terdapat satu seksyen untuk Kem Markas yang mengandungi kira-kira 20 orang yang bertugas di kem Richardson. Mereka berharap pasukan ini mempunyai kekuatan kira-kira 500 orang.

Setakat 14 Ogos 1945, Askar Wataniah mempunyai 244 anggota yang berdaftar. Seramai 173 anggotanya telah dibekalkan dengan senjata.  Organisasi Wataniah di pecahkan kepada lima platun iaitu Batu Talam, Dong, Sega, Kuala Lipis dan Raub. Disamping itu, terdapat kumpulan markas yang mempunyai 10 orang pegawai.  Kumpulan ini dipimpin oleh Mej Yeop Mohidden dan dibantu oleh Kapt Abdul Rahman Ismail dan Kapt Razak Husain.  Platun Batu Talam dipimpin oleh Kapt (Cikgu) Sulaiman, Platun Raub oleh Lt Muda Tengku Yunan Hj Daud, Platun Sega oleh Yaacub Hassan, Platun Kuala Lipis oleh Lt Ghazali Shafie dan Platun Dong oleh Lt  Muda Along Nasir.

KOMEN

Sebenarnya  orang terdahulu daripada kita telah berjuang melawan musuh Negara dengan penuh semangat dan keikhlasan yang tertanam dalam sanubari untuk melihat anak bangsa hidup dalam keadaan aman.   Kita hari ini hidup dalam keadaan selesa di atas perjuangan mereka.   Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-53.

Rujuk
BTDM bil 139/Jun 05 m/s 30


Ahad, 1 Ogos 2010

Seri Maharaja Perba

Wan Muhamad, Wan Chik Wan Ali
Tok Raja Wan Muhamad bersama Wan Chik dan Cucunya Wan Ali

Pada tahun 1591 Seri Maharaja Perba dari Titi Kabung Pagar Teras Pagar Ruyung bersama adik beradiknya yang bernama Seri Maharaja Indera Putera dan Maharaja Indera Pahlawan serta seorang saudara perempuan yang tidak pasti namanya telah datang dan memerintah daerah Hulu Pahang setelah baginda membeli daerah tersebut dengan harga “segantang ulang aling emas, satu bali isi emas dan sesuku tangan baju besi emas” dari Sultan Abbdul Ghafur Mohaidein Shah iaitu Sultan Pahang terakhir dari keturunan Melaka.

Disebabkan peristiwa itu rakyat Hulu Pahang sangat menghormati baginda. Daerah ini juga dikenali sebagai Jelai(Berpusat di Bukit Betong) yang telah terpisah dari pemerintah keturunan Bendahara Pahang di Pekan yang mana dipengaruhi kerajaan Johor-Riau. Disebabkan Seri Maharaja Perba tidak mempunyai zuriat, pemerintah Hulu Pahang telah diambil oleh Putera adik perempuan yang telah bernikah dengan seorang Ulama bernama Tun Bandan Patani dan dari zuriat ini lahirlah keturunan yang digelar Maharaja Perba Jelai.

Pada zaman pemerintah Maharaja Perba Jelai ke-5 Tok Raja Wan Idris bin Wan Muhamad (1776-1882) sekitar tahun 1830 dijemput satu kelompok keluarga pahlawan berdarah Raja Pagar Ruyung dari Minangkabau untuk menjadi panglima khusus bagi mempertahankan keluarga dan institusi Maharaja Perba Jelai di Bukit Betong setelah Daulat Yang Dipertuan Rajo Alam Pagar Ruyung Sultan Tunggal Alam Bagagar Shah Johan berdaulat dijatuhkan oleh Belanda pada tahun 1833 di Sumatera Barat.

Maharaja Perba Jelai memain peranan penting dalam perang Saudara Pahang apabila Tok Raja Wan Idris bin Wan Muhamad tidak menyokong Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir 1847-1861 dalam perang tersebut disebabkan pembunuhan puteranya Wan Embong oleh hulubalang Bendahara Tun Mutahir. Apabila perang saudara 1857 -1863 berakhir anak Tok Raja Wan Idris iaitu Wan Muhamad telah melantik Tun Ahmad menjadi Sultan Pahang Pertama atas pengiktirafan tersebut Wan Muhamad mendapat keistimewaan mengunakan chop rasmi yang tertera “Maharaja Perba Jelai al-Wakil Sultan Ahmad Al-Muaszam Shah”

Selepas pada itu Maharaja Perba Jelai Tok Raja Wan Muhamad bin Tok Raja Wan Idris dilantik sebagai orang besar berempat Pahang yang memakai gelaran Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai mengikut keturunannya hingga ke hari ini.

Salasilah

Wan Muhamad(1882-1919) Bin Wan Idris(1809-1882) Bin Wan Muhamad(1776-1809) Bin Wan Ismail

Rujuk: 
Suzana M.Osman – Institusi Bendahara Permata Melayu Yang Hilang
Zaffuan Haji Manap – Bingkisan Sejarah Raub.


Rabu, 28 Julai 2010

Datuk Seri Adnan Yaakob rasmi Banzar MARA Sg Koyan.

SAMBUTAN...Dato' Adnan Yackob Menteri Besar Pahang 
KUALA LIPIS 27 Julai- Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus berperanan mengembangkan ekonomi penduduk luar bandar apabila memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta untuk projek Bazar Mara di Bandar Sungai Koyan, Hulu Jelai dekat sini.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhamad berkata, bazar berkenaan yang terdiri daripada dua blok bangunan merupakan antara projek berkonsepkan 'Kedai Rakyat' menerusi peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Beliau berkata, projek Bazar Mara di Sungai Koyan antara sebuah daripada sebanyak 406 buah projek premis perniagaan di Pahang membabitkan 6,388 lot kedai yang disewa bagi tujuan perniagaan dan pembangunan usahawan.
''Projek ini antara penjana bidang keusahawan di kalangan penduduk tempatan di samping memberi kemudahan kepada pertumbuhan kawasan baru berasaskan ekonomi di luar bandar dan tanah rancangan Felda," katanya.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Utusan Malaysia

KOMEN

Di tapak tersebut terdapat dua permis kedai sebelumnya, permis kedai pertama yang didirikan oleh pihak FELDA telah terbakar dan tidak dapat di selamatkan langsung oleh bomba. Selepas itu pihak Koperasi Koyan 1 telah membina gerai kecil sehingga tidak boleh digunakan lagi dan pada hari ini dengan dokongan serta sokongan YB  Datuk Wan Rosdy ditapak tersebut telah terbina Banzar MARA yang bernilai 1.9 juta.

Ahad, 25 Julai 2010

Datuk Seri Najib di Pos Betau Lipis

KUALA LIPIS: Datuk Seri Najib Razak mahu gagasan 1Malaysia diberi pengisian yang berhubung kait dengan kehidupan rakyat di negara ini selaras dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
Perdana Menteri berkata, ini untuk memastikan gagasan 1Malaysia tidak hanya bersifat ‘upacara’ atau sebutan semata-mata.

“Saya nampak gagasan 1Malaysia daripada segi penerimaan boleh dikatakan pada paras yang tinggi... menyeluruh, cuma perlu lakukan ialah memberi pengisian konsep 1Malaysia supaya tidak bersifat ‘ceremonial’ (upacara) atau beri kefahaman saja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penghayatan 1Malaysia Masyarakat Orang Asli peringkat negeri di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Betau, dekat sini, semalam.

Najib berkata, rakyat sebenarnya mahu gagasan itu benar-benar berhubung kait dengan kehidupan mereka dan mereka diberi layanan sama rata tanpa mengira status apabila mereka menerima perkhidmatan kerajaan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis yang dihadiri lebih 7,000 orang itu, Najib berkata, 1Malaysia adalah satu gagasan yang sebenarnya diperjuangkan oleh semua perdana menteri sebelum ini.

“Saya melihat ia sebagai satu gagasan untuk melihat masa depan negara mencapai wawasan dan impian kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, gagasan itu akan mudah tercapai jika rakyat Malaysia dapat mengukuhkan perpaduan dan integriti nasional. — Bernama

KOMEN.
Sejarah awal Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Betau  adalah untuk mengumpul seluruh penduduk asli tinggal di satu tempat untuk melindung mereka daripada dipengaruhi oleh pihak penganas Komunis. Sekitar tahun 1980 hingga  1998an penduduk orang Asli dari Pos Betau ke Felda Sungai Koyan masih lagi berjalan kaki melalui jalan tanah merah yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan 4 roda. Pada hari ini jalan tersebut telah boleh dilalui hingga sampai ke Cameron Highland.

Rabu, 30 Jun 2010

Mengenali Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan Malaysia (“Perlembagaan”) adalah dokumen yang paling penting di dalam negara kita kerana ia menentukan landasan negara kita.

•    Ia mewujudkan sistem demokrasi kita
•    Ia menghadkan kuasa kerajaan
•    Ia menyatakan hak-hak kita

Perlembagaan adalah undang-undang utama negara kita. Ini bermakna ia menentukan siapa yang boleh menggubal undang-undang, dan menghadkan undang-undang yang boleh digubal.

Mengapakah anda harus tahu apa yang terkandung di dalam Perlembagaan?

Ia adalah kerana Perlembagaan menentukan cara hidup kita dan bagaimana kita diperintah. Contohnya:

•    Perlembagaan menyatakan bahawa kita adalah rakyat Malaysia

•    Perlembagaan menyatakan bahawa kita boleh memilih pemimpin-pemimpin kita

•    Perlembagaan menyatakan bahawa kita mempunyai Parlimen yang menggubal undang-undang

•    Perlembagaan menyatakan bahawa kita mempunyai mahkamah dan para hakim

•    Perlembagaan menyatakan bahawa kita mempunyai kerajaan persekutuan dan tiga belas kerajaan negeri

•    Perlembagaan menyatakan bahawa hak asasi kita dijamin.

Apakah yang terkandung di dalam Perlembagaan?

Perlembagaan mengandungi 16 Bahagian.
Bahagian I: Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang Persekutuan
Negara kita adalah sebuah persekutuan yang dianggotai tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan.

Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni.

Perlembagaan adalah undang-undang utama persekutuan. Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak sah.
Bahagian II: Kebebasan Asasi
Bahagian ini menyatakan kebebasan-kebebasan asasi yang kita miliki:
•    hak untuk hidup dan kebebasan
•    kebebasan daripada kehambaan dan menjadi buruh paksaan
•    kesamarataan di sisi undang-undang
•    kebebasan bergerak
kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu
•    kebebasan agama
•    hak untuk berpendidikan
•    hak untuk memiliki harta

Bahagian III: Kewarganegaraan
Seseorang itu menjadi warganegara Malaysia dengan cara:


•    dilahirkan di sini
•    berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia
•    tinggal secara sah di dalam negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan
Bahagian III juga menyatakan bagaimana kita boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegeraan.
Bahagian IV: Persekutuan
Bahagian ini mewujudkan sistem kerajaan kita. Ketua Utama persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agongyang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja negeri-negeri dan juga Yang Dipertua bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja.Bahagian IV juga mewujudkan Kabinet dan pejabat Perdana Menteri.Ia juga mewujudkan Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agongdan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Bahagian V: Negeri-Negeri

Setiap negeri mempunyai perlembagaannya sendiri dan badan perundangan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri mempunyai hak dan keistimewaan mereka.
Bahagian VI: Hubungan di antara Persekutuan dan Negeri-Negeri
Bahagian ini menyatakan pembahagian kuasa di antara persekutuan dan negeri-negeri. Terdapat perkara di mana Parlimen persekutuan boleh menggubal undang-undang, terdapat perkara di mana Dewan Undangan Negeri boleh menggubal undang-undang dan terdapat juga perkara tertentu di mana kedua-duanya boleh menggubal undang-undang.

Bahagian VII: Peruntukan Kewangan
Bahagian VII menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang.
Bahagian VIII: Pilihanraya
Bahagian VIII menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita.
Badan yang ditugaskan untuk menjalankan kesemua pilihanraya dan menyediakan daftar pemilih dikenali sebagai “Suruhanjaya Pilihanraya”. Suruhanjaya Pilihanraya ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agongdan sewajarnya menikmati keyakinan umum.
Bahagian IX: Badan Kehakiman
Bahagian IX mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia.Bahagian IX juga menyatakan bagaimana hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan akan dilantik.

Bahagian X: Perkhidmatan-perkhidmatan Awam

Bahagian ini mengenalpasti perkhidmatan awam di Malaysia, termasuklah:
•    pasukan polis
•   angkatan tentera
•    perkhidmatan pelajaran
Ia juga merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian serta kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri-negeri.
Perlantikan, kenaikan pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh “Suruhanjaya-suruhanjaya” dan anggota Suruhanjaya-suruhanjaya ini secara umumnya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Bahagian X juga mewujudkan pejabat Peguam Negara.
Bahagian XI: Kuasa Khas
Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang, dan Perbuatan dan Jenayah yang Memudaratkan Orang Awam dan Kuasa Darurat
Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang boleh membelakangi hak-hak lain di dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas sebab-sebab keselamatan awam.

Bahagian XIII: Am dan Pelbagai
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
Yang di-Pertuan Agongbertanggungjawab untuk:
•   memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak.
•    memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti lain.
Bahagian ini juga menyatakan bagaimana pindaan boleh dilakukan ke atas Perlembagaan.
Bahagian XIIA: Perlindungan Tambahan bagi Negeri Sabah dan Sarawak
Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak, contohnya, perizaban tanah pribumi bagi masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak.
Bahagian XIII: Peruntukan Sementara dan Peralihan
Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang digubal sebelum kemerdekaan masih berkuatkuasa sehingglah Parlimen menggubal undang-undang baru untuk menggantikan mereka.
Bahagian XIV: Kecualian bagi Kedaultan, dsb &
Bahagian XV: Prosiding terhadap Yang di-Pertuan Agongdan Raja-Raja.
Kedaulatan, kuasa, perogatif dan bidang kuasa Raja-Raja dipelihara di dalam Bahagian XIV. Di bawah Bahagian XV, prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agongatau Raja-Raja harus dibawa di hadapan “Mahkamah Khas”.

Bagaimanakah Perlembagaan memberi kesan kepada kita?
Sepuluh contoh-contoh

1.    Pada Pilihanraya Umum 2008, anda membuang undi untuk memilih ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri anda. Perkara 119(1) Perlembagaan menyatakan bahawa anda boleh mengundi sekiranya (a) anda seorang warganegara Malaysia (b) anda telah mencapai umur 21 tahun dan (c) anda telah mendaftar dengan daftar pemilih. Anda tidak boleh mengundi, contohnya, sekiranya anda sedang menjalani hukuman penjara atau ditahan sebagai seorang yang tidak waras.

2.    Anda tinggal di Pulau Pinang dan bercadang untuk melawat saudara anda di Negeri Sembilan. Anda boleh memandu ke Negeri Sembilan dengan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (melalui Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan) tanpa memerlukan passport atau apa-apa bentuk dokumen pemberian kuasa. Anda boleh melakukan ini semua kerana Perkara 9(2) Perlembagaan menyatakan bahawa secara amnya, setiap warganegara boleh bergerak dengan bebas dan boleh tinggal di mana-mana tempat di Malaysia. Namun begitu, terdapat pengecualian tertentu berkenaan dengan Sabah dan Sarawak.

3.    Anda dan suami anda adalah warganegara Malaysia tetapi anda telah melahirkan anak anda di Indonesia. Mengikut Perkara 14 Perlembagaan, anak anda adalah warganegara Malaysia kerana bapanya adalah warganegara Malaysia.

4.    Anda tinggal di Kuching. Bagi anda, Kuching adalah bandar yang terunggul di Malaysia. Bagi anda, ia merupakan tempat yang paling baik untuk didiami, mempunyai warga yang paling ramah dan sungai yang paling bersih di Malaysia. Anda berpendapat bahawa Kuching seharusnya dijadikan ibu negara Malaysia. Malangnya, Perlembagaan menyatakan bahawa Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia “sehinggalah Parlimen menentukan sebaliknya”. Jika anda mahukan Kuching sebagai ibu negara Malaysia, anda terpaksa melobi Parlimen untuk membuat pindaan.

5.    Anda menganut agama Buddha, jiran anda seorang Muslim, kawan baik anda adalah seorang Sikh dan rakan sekerja anda seorang Kristian. Di bawah Perkara 11 Perlembagaan, kita semua mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama kita sendiri.

6.    Kerajaan merancang untuk membina sebuah lebuhraya baru di kawasan perumahan anda dan telah menyerahkan notis untuk mengambil tanah anda untuk tujuan tersebut. Perkara 13(1) Perlembagaan menyatakan bahawa tidak ada seorangpun yang boleh dilucutkan hartanya “kecuali mengikut undang-undang”. Oleh itu, kerajaan boleh mengambil tanah anda tetapi ia harus melakukannya mengikut proses undang-undang. Ini termasuklah memberi anda notis dan pampasan yang mencukupi.

7.    Pahang baru sahaja memenangi Piala Malaysia. Untuk meraikan kemenangan itu, kerajaan negeri Pahang mengumumkan cuti bagi negeri Pahang. Anda tinggal di Perlis tetapi adalah seorang peminat pasukan bola Pahang. Anda juga ingin bercuti, tetapi anda tidak boleh memaksa kerajaan negeri Perlis untuk mengumumkan cuti kerana setiap kerajaan negeri mempunyai hak untuk mengumumkan cuti bagi negerinya sendiri.
[Tetapi anda boleh pindah ke Pahang! Sila lihat perenggan 2 di atas.]

8.    Anda membayar cukai setiap tahun. Untuk menggunakan wang yang anda bayar, kerajaan persekutuan harus membentangkan bajet di Parlimen untuk menerangkan bagaimana ia akan menggunakan wang tersebut. Sebelum kerajaan persekutuan boleh menggunakan wang tersebut, Parlimen harus meluluskan bajet tersebut. Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan cara kerajaan persekutuan akan membelanjakan wang, anda boleh menyuruh ahli Parlimen anda untuk mencadangkan pindaan kepada bajet di Parlimen.

9.    Anda telah ditahan polis dan dibawa ke balai polis. Anda memaklumkan kepada polis bahawa anda mahukan khidmat seorang peguam untuk mewakili anda. Pihak polis harus membenarkan anda menghubungi peguam anda kerana Perkara 5(3) Perlembagaan menyatakan bahawa anda mempunyai hak untuk diwakili oleh seorang peguam.

10.    Anda mempunyai hak untuk belajar, bertutur dan menggunakan bahasa lain walaupun Perkara 152(1) Perlembagaan menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Soalan-soalan Lazim mengenai Perlembagaan



1.    Haruskah saya mematuhi Perlembagaan?

Ya, semua orang harus mematuhi Perlembagaan, termasuklah diri anda, ahli Parlimen anda, para hakim, pegawai-pegawai kerajaan, pasukan polis, syarikat-syarikat dan persatuan-persatuan.

Malahan, Perdana Menteri, Kabinet, ahli Parlimen, para hakim dan juga Yang di-Pertuan Agong mengambil ikrar bahawa mereka akan mematuhi Perlembagaan.

Anda sendiri berikrar untuk mematuhi Perlembagaan setiap kali anda melafazkan Rukun Negara.

2.    Apa akan berlaku sekiranya seseorang itu tidak mematuhi Perlembagaan?

Perlembagaan secara amnya memberikan kuasa, meletakkan tanggungjawab dan menentukan peranan. Sekiranya seseorang atau sebuah institusi tidak bertindak mengikut kuasa atau peranan yang diberikan kepada mereka, maknanya tindakan mereka adalah bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah.


3.    Apa yang akan terjadi sekiranya terdapat perselisihan berkenaan dengan maksud peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan? Siapa yang akan memutuskannya?


Mahkamah mempunyai kuasa untuk memutuskan segala perkara berkenaan dengan tafsiran Perlembagaan. Apabila Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan tentang maksud sesuatu peruntukan, keputusan itu berkuatkuasa ke atas semua sehinggalah ia diputuskan semula oleh Mahkamah Persekutuan.

Tafsiran Perlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan mungkin bertukar mengikut peredaran masa dan mengambil kira perubahan keadaan.

4.    Bolehkah Perlembagaan dipinda?

Ya, ia boleh dipinda, malahan Perlembagaan kita telah dipinda beberapa kali.

Perkara 159 Perlembagaan menyatakan bahawa secara amnya, Perlembagaan boleh dipinda sekiranya rang undang-undang (yakni cadangan untuk pindaan) diluluskan oleh tidak kurang daripada dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


5.    Parliman tampak seperti mempunyai kuasa yang banyak untuk membuat pindaan ke atas Perlembagaan. Apakah caranya untuk kita memastikan bahawa kuasa tersebut tidak disalahgunakan?


Pertama, ahli-ahli Parlimen dipilih oleh rakyat Malaysia seperti kita. Sekiranya cadangan pindaan itu tidak disokong oleh rakyat, maka ahli-ahli Parlimen tidak mungkin menyokong pindaan tersebut. Jika tidak, mereka mungkin tidak dipilih semula ke Parlimen pada Pilihanraya Umum yang akan datang. Sekiranya anda tidak berpuas hati dangan apa-apa cadangan pindaan, anda boleh menyuarakan pendapat anda kepada ahli Parlimen anda atau mana-mana ahli Parlimen.

Kedua, semua ahli Parlimen mengangkat sumpah bahawa mereka akan “memulihara, melindungi dan mempertahankan” Perlembagaan. Ada pihak berhujah bahawa sumpah ini bermakna ahli Parlimen tidak seharusnya membuat pindaan ke atas bahagian-bahagian penting dan perlu di dalam Perlembagaan.

6.    Di mana saya boleh mendapatkan sesalinan Perlembagaan?

Anda boleh membeli sesalinan di keda-kedai buku utama.
PerlembagaanKu

Majlis Peguam
Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan


KOMEN

Rakyat Malaysia tiada yang kebal dari segi undang-undang  walaupun mereka itu pihak berkuasa, ahli Pekida, anggota Rela, ahli UMNO, ahli PAS, ahli PKR ahli DAP, ahli Perkasa dan seumpamanya.

Selasa, 22 Jun 2010

HANYUT bersama U-Wei

Filemnya, "Kaki Bakar" pernah menjadi filem Malaysia pertama yang ditayangkan di Festival Filem Cannes pada tahun 1995. U-Wei Haji Saari, yang turut mengarahkan "Perempuan, Isteri dan ..." (1993) dan "Jogho" (1997) bukanlah seorang pengarah filem yang biasa anda temui. Cukup berbeza dengan pengarah filem tempatan sedia ada seperti Profesor Abd. Razak Mohaideen, Yusof Haslam dan juga Ahmad Idham. Filem-filemnya juga bukanlah seperti yang biasa kita tonton di pawagam.  Namun inilah keistimewaan U-Wei.

Kembali dengan filem terbarunya yang bertajuk "Hanyut", U-Wei dikatakan mampu menaikkan nama Malaysia sekali lagi apabila dia berharap dapat menghantar "Hanyut" ke festival filem terkenal itu. Filem yang diadaptasikan daripada novel Joseph Conrad ini bakal menelan belanja sebanyak RM20-25 juta ini telah memulakan penggambaran  di Kuala Lipis dan Pekan, Pahang.

"Hanyut" bakal menampilkan pelakon dari Australia, Peter O'Brien, Diana Danielle, Sofea Jane, Khalid Salleh, Adi Putra, Patrick Teoh, Sabri Yunus dan juga Bront Palarae. – mytupai.blogspot.com

KOMEN

Baru ni balik Kuala Lipis berselisih dengan van yang ditulis dengan perkataan ‘hanyut’, ingatkan ada hotel baru yang bernama ‘hanyut’; tanya kawan-kawan,  pengarah terkenal kelahiran Temerloh U-Wei tengah bikin filem baru yang bertajuk ‘hanyut’ disekitar Sungai Jelai Lipis. Kalau begitu kita tunggu filem tersebut yang sudah  tentu berlainan dari filem-filem karyawan statik Malaysia.

Sabtu, 19 Jun 2010

Pertandingan Bintang Pop Yeh Yeh 2010





Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada
Abdul Aziz - 013 9669595
Rosfaizuazman -  012 2208976
Ameer -  012 2208976 
 Tarikh tutup - 20 Jun 2010





  

AddToAny