responsif teks foto

Selasa, 17 September 2019

Lipis Bertanjak Tanjak

Latar Belakang, /Sejarah Tanjak

Tanjak juga dikenali sebagai destar, tengkolok, tanjak bulang hulu dan setangan kepala merupakan sejenis alas kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki. Tengkolok diperbuat daripada kain songket panjang yang dilipat-lipat dan diikat dalam gaya (solek) yang tertentu. Pada zaman sekarang, tanjak lebih banyak dipakai dalam majlis-majlis yang penuh adat istiadat, misalnya oleh kerabat diraja dan para hadirin dalam majlis istiadat diraja, dan oleh pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan 

Tanjak Warisan Melayu
Mengikut Kamus Dewan istilah ‘tengkolok’, ‘destar’, dan ‘tanjak’ adalah bersinonim; selain yang diterangkan di atas, perkataan ‘tengkolok’ juga merujuk kepada "kain penutup kepala atau selubung (daripada sutera dll) yang dipakai oleh wanita", pengertian tengkolok sebagai alas kepala wanita jarang digunakan hari ini.

Akan tetapi, sesetengah pihak mengatakan bahawa tengkolok, destar, dan tanjak adalah berlainan dari segi jenis kain dan/atau ikatan walaupun sama kegunaannya, yang mana tengkolok merupakan alas kepala buatan kain bermutu yang lilitannya berlapis (tebal) dan meruncing ke atas; ‘destar’ pula lilitannya rendah dan nipis berbanding tengkolok; "tanjak" pula lilitannya seperti tengkolok, tetapi kainnya lebih ringkas dan nipis.

Tengkolok dicipta seawal-awalnya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sebelum zaman itu, sudah menjadi kewajipan rakyat jelata untuk menutup kepala atau mengikat rambut panjang supaya kelihatan kemas apabila apabila menghadap raja. Masyarakat Melayu Melaka mendapat ikhtiar untuk menggunakan kain panjang berbentuk segi empat untuk dilipat-lipat dan diikat menjadi sejenis alas kepala yang kemas untuk dipakai dalam urusan rasmi. Ikatan kain ini lama-kelamaan makin lama makin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubah suai mengikut taraf pemakainya.

Tengkolok boleh dibuat dalam pelbagai jenis bentuk dengan jenis dan corak kain yang berlainan mengikut taraf sosial pemakainya. Nama am bagi bentuk tengkolok yang berlainan itu ialah ‘solek’. Setiap solek tengkolok yang berlainan ini turut diberikan nama khas, misalnya: tengkolok yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong dalam majlis istiadat pertabalan sejak negara zaman kemerdekaan, dikenali sebagai ‘Solek Dendam Tak Sudah’.

Setiap Raja Melayu masing-masing memakai solek tengkolok yang khusus. Misalnya, Sultan Selangor memakai ‘Solek Balung Raja’ berwarna serba kuning emas ketika menghadiri majlis pertabalan atau hari keputeraan baginda.

Aktiviti 16 Sepet di Lipis




Lipis Bertanjak



Tiada ulasan:

AddToAny