responsif teks foto

Sabtu, 7 Julai 2018

HARTA PUSAKA PENEROKA FELDA


MASALAH HARTA PUSAKA PENEROKA FELDA

Oleh : Tuan Ariffin Sabirin

cerita dari Lipis FELDA
Harta Pusaka Peneroka FELDA
Peneroka Felda adalah antara golongan yang istimewa kerana memiliki pelbagai kemudahan dan keistimewaan di bawah Akta TANAH GSA 1960 ( Kawasan Penempatan Berkelompok) yang diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Tujuan utama Akta ini diperkenalkan ialah bagi memperuntukkan tanah kepada rakyat dan menyelaraskan pengurusan tanah tersebut di bawah perbadanan yang diberikan kuasa ( felda).

Namun demikian, Akta ini tidak membenarkan lebih dari dua (2) nama dimasukkan ke dalam geran tanah pada sesuatu masa selepas kematian peneroka. Ini mencetuskan masalah kerana ramai peneroka mempunyai lebih dari dua orang waris mengikut Hukum Faraid, semua waris layak mendapat bahagian masing-masing.


AMALAN BIASA PEWARISAN TANAH FELDA.

Kebiasaannya apabila peneroka meninggal dunia, sekiranya semua waris mahukan hak ke atas tanah ladang atau rumah, seorang atau dua orang waris akan dilantik sebagai PENTADBIR bagi mewakili semua waris yang berhak. Apabila PENTADBIR menerima hasil kebun/ladang, dia wajib mengagihkan semula hasil itu kepada waris-wa sama ada mengikut bahagian seperti Hukum Faraid atau secara muafakat. Ini kerana hasil itu bukan miliknya sebaliknya dia hanyalah sebagai PENTADBIR.

MASALAH BIASA YANG DIHADAPI WARIS PENEROKA.

Masalah yang biasa dihadapi di dalam pewarisan tanah Felda ialah kerana PENTADBIR yang dilantik tidak amanah. PENTADBIR tidak mengagihkan hasil ladang kepada waris² sebaliknya memakan hasil tersebut bersendirian. Dari segi Hukum, PENTADBIR itu sudah pun memakan harta yang haram kerana harta itu bukan miliknya seorang. Rasulullah SAW berpesan :-

"Barang siapa yang memakan hak seorang Muslim dengan sumpahnya, maka Allah mewajibkan dia masuk neraka dan mengharamkan syurga. Seorang sahabat bertanya, Walaupun sedikit Ya Rasulullah?. Baginda menjawab, walaupun setangkai kayu sugi." ( Hadis Riwayat Muslim).

Selain itu, biasa juga berlaku keadaan di mana PENTADBIR yang amanah menjalankan tanggungjawabnya pula yang terjejas kerana dia yang terpaksa berusaha bersendirian menguruskan ladang tetapi apabila mendapat hasil, terpaksa pula mengagih balik semua hasil kepada waris² lain mengikut Hukum Faraid atau permuafakatan sedangkan waris² lain sudah pun bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri berbanding dengan PENTADBIR yang hasil utamanya ialah dari hasil ladang. PENTADBIR yang penat akhirnya berputus asa dan meninggalkan kerjanya di ladang.

BAGAIMANA MENGATASI MASALAH HARTA PUSAKA TANAH FELDA

1) PENYELESAIAN UNTUK GENERASI PERTAMA

1.1) HIBAH
Walaupun peneroka felda mempunyai ramai anak, namun dalam keadaan biasa ada anak tertentu sahaja yang masih tinggal bersama peneroka di tanah rancangan dan mereka inilah yang membantu peneroka menguruskan ladang. Anak² lain mungkin telah berjaya dan bekerja di bandar.

Peneroka felda yang berhasrat agar tanah ladang dan rumahnya diwariskan kepada anak yang tinggal di tanah rancangan itu boleh membuat dokumen HIBAH dan menghibahkan tanah ladang dan rumah kepada anak tersebut. Dokumen HIBAH ini boleh disediakan oleh Wasiyyah Shoppe melalui perundingnya yang berdaftar.

Selagi masih hidup, peneroka felda boleh terus menikmati hasil seperti biasa. Apabila dia meninggal dunia barulah nama anak tersebut dimasukkan ke dalam geran dan anak tersebut akan memiliki tanah ini secara mutlak.

Tiada sesiapa pun boleh mencabar hasrat peneroka felda menghibahkan tanah ini kepada anak tersebut. Segala hasil ladang adalah milik anak tersebut dan apabila anak tersebut meninggal dunia, tanah ladang dan rumah tersebut akan diwarisi pula oleh waris² anak tersebut mengikut Hukum Faraid. Adik beradik anak tersebut tidak akan mendapat apa² hak. Pemberian HIBAH seperti ini hanya boleh diberikan kepada maksima dua orang anak sahaja.

1.2) HIBAH AMANAH
Sekiranya peneroka felda inginkan semua anak mendapat manfaat dari tanah ladang dan rumahnya, dia boleh memberikan HIBAH AMANAH kepada salah seorang dari anak yang dipercayainya. Anak ini akan menandatangani satu SURAT IKATAN AMANAH yang mengisytiharkan bahawa walaupun dia menerima HIBAH tanah ladang dan kebun itu, tetapi dia hanyalah bertindak sebagai PEMEGANG AMANAH bagi pihak dirinya dan waris² lain mengikut Hukum Faraid.

Selagi peneroka felda masih hidup, dia boleh terus menikmati hasil seperti biasa. Apabila dia meninggal dunia, barulah nama anak sebagai PEMEGANG AMANAH tadi dimasukkan ke dalam geran dan anak tersebut akan mula memainkan peranannya sebagai PEMEGANG AMANAH.

Sebagai orang yang menguruskan ladang, anak ini akan menerima UJRAH ( UPAH) dari hasil ladang. Baki hasil selepas ditolak UJRAH ( UPAH) di atas barulah dibahagikan kepada waris² lain sama ada secara sama rata atau mengikut Hukum Faraid atau seperti yang diingini oleh peneroka felda. Jumlah penerima manfaat ini tidak ada had.

Selepas anak ini meninggal dunia, PEMEGANG AMANAH yang baru pula dilantik dikalangan anak² lain sama ada mengikut turutan atau seperti yang diarahkan oleh peneroka felda. Ini bermakna tanah ladang dan ruma akan hanya diwarisi oleh anak² peneroka felda sahaja.

2) PENYELESAIAN UNTUK PENEROKA GENERASI KEDUA YANG SUDAH MENJADI PENTADBIR.

Penyelesaian ini hanya boleh dibuat untuk Peneroka Generasi Kedua yang namanya sudah pun muncul di geran sebagai PENTADBIR. Sekiranya nama di dalam geran masih nama Peneroka Generasi Pertama yang meninggal dunia, penyelesaian ini tidak boleh dilaksanakan.

Situasi yang biasa berlaku ialah PENTADBIR menetap di rumah pusaka di tanah rancangan. Kebiasaannya jika rumah itu rosak, PENTADBIR yang menetap di rumah itulah yang mengeluarkan modal untuk memperbaikinya sedangkan rumah itu bukan milik mutlaknya, dia hanyalah PENTADBIR yang mewakili waris lain mengikut Hukum Faraid.

Di dalam keadaan ini, PERJANJIAN KELUARGA boleh dibuat. Perjanjian ini mengikat PENTADBIR dengan waris² yang lain. Di dalam perjanjian ini akan dimasukkan unsur UJRAH ( UPAH) untuk PENTADBIR di mana kesemua waris² bersetuju bahawa atas usaha PENTADBIR menguruskan ladang dan menjaga rumah pusaka, PENTADBIR akan menerima UJRAH ( UPAH) dari hasil ladang. Baki hasil selepas ditolak UJRAH akan diagihkan kepada semua waris² termasuk PENTADBIR sama ada mengikut bahagian Hukum Faraid atau seperti yang dipersetujui bersama.

Sekiranya PENTADBIR meninggal dunia, PENTADBIR yang baru pula akan dilantik dari kalangan waris² yang ada. Apabila PENTADBIR baru membuat keputusan supaya waris² PENTADBIR yang telah meninggal dunia itu meninggalkan rumah pusaka, ganti rugi bagi apa² modal yang telah dikeluarkan untuk memperbaiki rumah akan dibayar mengikut kadar yang dipersetujui bersama.

Dengan adanya PERJANJIAN KELUARGA dapat mengelakkan waris² dari berbalah sesama mereka dan pewarisan tanah ladang dan rumah dapat dibuat dengan lebih lancar.

WASIAT YANG DIBUAT OLEH PENEROKA FELDA TIDAK SAH.

WASIAT bukanlah penyelesaian kepada masalah harta pusaka peneroka felda. Malah apabila peneroka felda membuat WASIAT, ia menambahkan lagi masalah pusaka yang sedia ada. Kebanyakan WASIAT yang dibuat oleh peneroka melalui ejen² SYARIKAT AMANAH ialah WASIAT yang melantik WASI/PENTADBIR harta pusaka.

Di dalam WASIAT yang dibuat ini hanya disebut tentang perlantikan Syarikat Amanah sebagai WASI/PENTADBIR harta pusaka dan tanggungjawab mereka. Ini bermakna, selepas peneroka meninggal dunia, peneroka mahukan syarikat Amanah itulah yang menguruskan harta mereka. Apa yang tidak diketahui oleh peneroka apabila mereka menandatangani WASIAT seperti ini, bila mereka meninggal dunia dan harta pusaka diurus Syarikat Amanah, waris² mereka terpaksa menanggung kos yang mahal kerana di dalam keadaan tertentu, telah dijumpai kes peneroka felda di mana Syarikat Amanah mengenakan caj sehingga berpuluh ribu ringgit! Waris terbeban dan teraniaya! Dalam membuat WASIAT, peneroka felda perlu melihat peringatan Allah SWT di dalam surah An Nisa ayat 12 :

"Dan Hukum Faraid ini dibahagikan selepas ditolak WASIAT dan dijelaskan hutangnya tetapi WASIAT itu mestilah tidak memudaratkan waris"
WASIAT yang melantik Syarikat Amanah sebagai WASI / PENTADBIR harta pusaka boleh menjadi WASIAT yang memudaratkan waris apabila waris dikenakan caj berpuluh² ribu ringgit.

Sekiranya peneroka felda membuat WASIAT dan memasukkan hasrat pembahagian harta di dalam WASIAT itu pula, hasrat pembahagian itu tidak sah kecuali dipersetujui oleh semua waris selepas kematian peneroka felda. Walaupun ketika membuat WASIAT itu waris mungkin bersetuju tetapi kerana WASIAT berkuasa kuasa nya selepas kematian, waris boleh untuk tidak bersetuju dengan WASIAT itu selepas kematian pewasiat dan WASIAT itu akan terbatal.

KESIMPULANNYA.

HIBAH ialah dokumen yang lebih berkesan untuk dibuat oleh peneroka felda berbanding dengan WASIAT. Walaupun kos membuat WASIAT mungkin lebih murah, tetapi ia tidak berkesan dari segi pembahagian harta kerana boleh dibatalkan dan ia juga akan membebankan waris kerana mereka terpaksa membayar berpuluh ribu ringgit!

Pembahagian harta peneroka felda melalui HIBAH adalah berkuatkuasa. Tiada siapa boleh mencabar hasrat pemberi HIBAH memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya kerana berbeza dengan WASIAT, HIBAH berkuatkuasa semasa hidup dan penerima HIBAH pasti menerima harta yang dihibahkan.

Oleh itu, peneroka felda jika mempunyai hasrat untuk membahagikan harta feldanya kepada waris² tertentu dan ingin mengelakkan masalah dari berlaku selepas kematiannya, buatlah HIBAH dan Wasiyyah Shoppe ialah penyedia dokumen HIBAH yang terbanyak di Malaysia. Bagi kes² felda, perintah² HIBAH dari Mahkamah Tinggi Syariah Bentong, Kuantan dan Seremban telah pun berjaya diperolehi oleh Wasiyyah Shoppe yang membuktikan bahawa HIBAH yang dibuat oleh Wasiyyah Shoppe adalah berkuasakuasa dan mengikut Hukum Syarak.

Nukilan dari :
Pengurusan Harta Pusaka
Tuan Ariffin Sabirin
Penasihat Kumpulan Syarikat
Wasiyyah Shoppe.





1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya ada soalan y nak d ajukan

AddToAny