responsif teks foto

Selasa, 24 Disember 2019

KENYATAAN RASMI KERAJAAN NEGERI PAHANG

KENYATAAN RASMI KERAJAAN NEGERI PAHANG BERKAITAN ISU TINDAKAN PENGUATKUASAAN YANG DILAKSANAKAN DI KAWASAN TADAHAN AIR KUALA TERLA BERKAIT SUNGAI ICHAT, MUKIM ULU TELOM DAERAH CAMERON HIGHLANDS.

Susulan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak berkaitan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom Daerah Cameron highlands, Kerajaan Negeri Pahang menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah berlandaskan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara. Bagi kawasan ini sejumlah 11 penerokaan haram terlibat bagi peringkat pertama dan 37 penerokaan bagi peringkat kedua. Keseluruhan kawasan terlibat adalah 121 hektar (300 ekar) di mana 24 hektar (60 ekar) bagi peringkat pertama dan 97 hektar (240 ekar) bagi peringkat kedua. Tindakan diambil di bawah peruntukan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa izin sejak tahun 2009. Notis mengosongkan telah dikeluarkan sejak 19 Ogos 2009 tetapi aktiviti penerokaan tanpa izin masih diteruskan selepas itu. Notis selanjutnya bagi peringkat pertama telah dikeluarkan pada 18 Februari 2019 dan tindakan penguatkuasaan peringkat pertama melibatkan 11 kawasan penerokaan telah dilaksanakan bermula 25 Februari sehingga 19 Mac 2019. Notis pengosongan peringkat kedua kepada baki 37 penerokaan tanpa izin telah dikeluarkan pada 14 mac 2019.

Cerita dari Lipis Cameron Highland
Pencemaran Sungai

Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memastikan segala tindakan penguatkuasaan yang telah dan akan diambil mematuhi segala perundangan yang berkuatkuasa serta berlandaskan ‘rule of law’. Buktinya, tindakan meroboh yang telah dilaksanakan di Sungai Ichat sebelum ini telah dihentikan apabila Peneroka-Peneroka telah memperolehi perintah untuk injunksi interim bertarikh 11 Mac 2019 daripada Mahkamah Tinggi Kuantan. Walaubagaimanapun, Plaintif-Plaintif dalam saman pemula ini telah menarik balik permohonan mereka di mahkamah dan memberhentikan tindakan saman tersebut pada 30 September 2019.

Sejajar dengan keberangkatan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke Daerah Cameron Highlands pada 7 September 2019, Baginda turut menitahkan agar semua pihak menghentikan segera pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Telom. Keprihatinan yang tinggi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong terhadap isu alam sekitar di Cameron Highlands terutama di Sungai Ichat tidak dapat dinafikan apabila Baginda Tuanku berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan Sungai Ichat di Kuala Terla pada tarikh yang sama.

Susulan dengan itu juga, Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 14 Oktober 2019 memutuskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Dan Pasukan Gerak Am PDRM (PGA) di atur gerak dan ditempatkan di daerah Cameron Highlands bagi membantu usaha mengekang aktiviti pencerobohan serta menunjukkan keberadaan (show of presence) anggota keselamatan. Selanjutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan YAB Menteri Besar Pahang pada 9 Disember 2019 telah bersetuju agar Ops Lestari 2 diteruskan dan penempatan pasukan keselamatan ATM dan PGA ke daerah Cameron Highlands bermula 16 Disember 2019.

Bagi memastikan kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom Daerah Cameron Highlands ini terus terpelihara, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada 13 Mac 2019 telah meluluskan pewartaan kawasan terbabit seluas 121.12 hektar (300 ekar) sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat. Aktiviti kawalan termasuk penjagaan dan penanaman pokok hutan bagi fasa satu telah dilaksanakan oleh Pejabat Perhutanan Negeri Pahang sebaik sahaja tindakan penguatkuasaan selesai dijalankan.

Kerajaan Negeri Pahang juga komited untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan ini dan tidak akan berkompromi demi memastikan kelestarian serta kesejahteraan rakyat di daerah Cameron Highlands dapat di realisasikan.

Loji air Kuala Terla adalah Loji air yang terpenting dan terbesar menyalurkan lebih 70% kepada keperluan air bersih di Cameron Highlands (meibatkan 8,332 akaun). Loji ini mempunyai ‘design flow capacity’ air mentah sebanyak 855m3/jam. Tetapi buat masa ini, Sungai Terla hanya mampu menyediakan 580m3/jam dan kadangkala berkurangan. Aliran air mentah kini sudah tidak mampu menampung keperluan semasa dan pembangunan akan datang di Cameron Highlands buat masa terdekat ini. Justeru, untuk meningkatkan lagi jumlah aliran air mentah,maka air mentah dari Sungai Ichat amat diperlukan. Berdasarkan pemantauan oleh Perbadanan Air Pahang (PAIP) kualiti air di Sungai Ichat telah mula pulih selepas tindakan penguatkuasaan diambil dan kerja-kerja pembersihan dilakukan hampir setiap minggu oleh pihak PAIP. Berdasarkan perancangan semasa, pihak PAIP bercadang untuk melakukan pengalihan Sungai Ichat untuk bercantum dengan Sungai Terla bermula suku tahun kedua tahun 2020 sebagai mana rekabentuk asal pembinaan loji air Kuala Terla. Tindakan ini diharapkan akan dapat meningkatkan dan menstabilkan aliran air mentah untuk kegunaan di loji air Kuala Terla.

Sekian,terima kasih.

Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Bin Ishak, SSAP.,SIMP.,DIMP.,JSM.,PJK
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang



PENDUDUK, PELANCONG SOKONG KERAJAAN NEGERI MUSNAH KEBUN HARAM

Oleh: Shahrinnahar Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

CAMERON HIGHLANDS, 24 DISEMBER 2019: Penduduk dan pelancong di Cameron Highlands menyokong langkah Kerajaan Negeri Pahang memusnahkan kebun sayur haram bagi melestarikan kembali pusat peranginan itu sebagai destinasi pelancongan tersohor di negara ini.

Bagi mereka, operasi ini dapat memastikan tanah tinggi Cameron Highlands dapat dikekalkan kelestarian tanpa sebarang penerokaan tanah secara haram.

Menurut seorang penduduk, Saime Abdul Aziz, 58, tindakan Kerajaan Pahang meminta tanah itu dikosongkan adalah langkah tepat dalam usaha membanteras peneroka tanah secara haram di negeri ini.

"Saya rasa tindakan yang diambil kerajaan ini perlu kerana ia bukan sahaja dapat menjaga alam sekitar malah mengurang impaknya terhadap sungai-sungai yang berdekatan dengan kebun-kebun haram ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang tinggal di Tringkap di sini berkata, operasi ini perlu dilakukan bagi mengelakkan sungai berhampiran terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja.

"Saya sokong langkah kerajaan ini kerana sudah berapa lama pekebun ini tidak membayar cukai sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan. Jadi kerajaan kena ambil balik," katanya.

Sementara itu, pemandu teksi G. Mohan, 66, berkata, kebanyakan pelancong dari luar negara yang datang ke Cameron Highlands kerana menyukai hutan hujan yang masih ada di sini.

"Jadi kita sebagai rakyat di negeri ini perlu menjaga alam sekitar dan tidak boleh menceroboh hutan sesuka hati. Saya tidak mahu satu hari nanti pelancong luar negara tidak datang melancong ke sini kerana kerakusan rakyat memusnahkan hutan.

"Apabila kerajaan membuat operasi memusnahkan kebun-kebun haram ini, saya sokong sangat kerana secara tidak langsung dapat menjaga kelestarian alam sekitar di Cameron Highlands," katanya.

Bagi pelancong dari Johor, Nurul Asmaliza Mohd Osman, 34, dia bersama keluarganya memang suka melancong ke Cameron Highlands kerana keadaan cuaca yang sejuk serta banyak hutan yang masih terpelihara.

"Apabila saya mengetahui kerajaan melaksanakan operasi memusnahkan kebun-kebun haram ini saya sangat setuju. Kerana jika dibiarkan lama kelamaan hutan yang ada di sini habis dimusnahkan.

"Sekarang pun suhu di Cameron Highlands tidak berapa sejuk seperi dulu disebabkan pencerobohan hutan oleh pekebun haram ini. Sebab itu, harapan saya supaya operasi seperti ini dapat dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang," katanya.

Disediakan oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)

KENYATAAN MEDIA
24 Disember 2019

PAIP MENYOKONG PENUH KERAJAAN NEGERI PAHANG

Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyokong penuh tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam isu penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, khususnya di Sungai Ichat bagi menjamin kelestarian sumber bekalan air sejagat. Sebagaimana umum tahu, sumber air yang bersih, selamat dan mencukupi dapat menjamin kehidupan yang sempurna dan pembangunan yang mampan kelak.

Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla adalah loji air yang terpenting dan terbesar menyalurkan lebih 70% kepada keperluan air bersih di Cameron Highlands (8,332 akaun) yang diurus selia oleh PAIP. LRA ini mempunyai design capacity (flow) air mentah 855m3/jam. Buat masa ini, Sungai Terla hanya dapat membekalkan 68% kegunaan air mentah bagi pengoperasian LRA Kuala Terla dengan flow purata 580m3/jam dan kadangkala berkurangan. Flow air mentah kini sudah tidak dapat menampung keperluan semasa dan pembangunan yang mendatang di Cameron Highlands buat masa terdekat ini.

Bagi memastikan kuantiti air mentah yang mencukupi dan stabil, air mentah dari Sungai Ichat amat diperlukan buat masa terdekat ini. Bermula dari pemantauan yang dilakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan Sungai Ichat telah dilakukan, kualiti air mentah di Sungai Ichat telah mula pulih. Pihak PAIP telah membuat pemantauan kualiti air mentah pada setiap minggu secara berkala.

Pihak PAIP juga telah merancang untuk melakukan "River Diversion" Sungai Ichat untuk di cantumkan dengan Sungai Terla pada quarter kedua 2020 sepertimana yang dinyatakan dalam design asal pembinaan LRA Kuala Terla. Perkara ini akan dapat menambah dan menstabilkan flow air mentah untuk kegunan di LRA Kuala Terla.#

Saiful Zaini bin Mohd Bokhari
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP

KENYATAAN KHAS YB DS ABDUL RAHMAN MOHAMAD  
AHLI PARLIMEN LIPIS/AHLI MAJLIS KERJA TERTINGGI UMNO).

Setelah pulang dari menunaikan ibadah umrah pada minggu lalu, saya memerhati dalam diam isu Cameron Highlands yang berlegar di media sosial. Tak kurang juga pelbagai pandangan turut dikongsikan pelbagai pihak termasuklah kenyataan oleh Kerajaan Negeri Pahang sendiri.

YB Dato Sri Hj. Abdul Rahman

Setelah meneliti hari ini, saya tampil untuk menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung sempena keberangkatan Baginda ke Cameron Highlands pada september 2019 yang lalu untuk menghentikan segera pencerobohan di kawasan sungai Terla dan saya juga memberikan sokongan tidak berbelah bahagi tindakan kerajaan Negeri Pahang yang diterajui oleh YAB DS WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL atas kenyataan tegas bahawa tiada unsur kompromi berkaitan isu alam sekitar ini.

Saya ingin tegaskan bahawa Alam ini kaya nilainya. Tapi jangan sesekali melanggar batas untuk menjarahnya. Hentikanlah sebarang kenyataan dan tindakan berbentuk provokasi kerana ianya boleh menjejaskan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya di Negeri Pahang. Saya yakin tindakan Kerajaan Negeri Pahang pimpinan YAB Menteri Besar Pahang tidak lain tidak bukan adalah demi kemaslahatan anak cucu kita di kemudian hari.

Sekian,

DATO SERI HJ ABDUL RAHMAN
BIN HJ MOHAMAD
Ahli Parlimen Lipis/MKT UMNO


Tiada ulasan:

AddToAny