responsif teks foto

Khamis, 25 Februari 2021

Perkampungan emas di Kechau Lipis.


Di sebalik ketenangan beberapa buah kampung di daerah Kechau yang mempunyai keluasan 77,000 hektar di sini, siapa sangka kandungan perut bumi­nya dilimpahi dengan emas mentah sekali gus mengubah taraf hidup kira-kira 5,000 penduduk di situ sejak turun temurun.

kewujudan emas yang bertimbun di kawasan itu boleh digambarkan seolah-olah penduduk tinggal dan hidup dengan logam berharga tersebut kerana ia didakwa berada di bawah, depan dan belakang rumah mereka. Oleh kerana banyaknya emas, ada penduduk yang memperoleh sehingga tujuh kilogram

Terima Kasih Pihak Kosmo kerana Interview Kami.

Kampung emas di Lipis.. (pembetulan: jumlah RM16,000 seminggu itu pada value beberapa tahun lepas, jika ikut value semasa lebih 30k seminggu)

Kewujudan galian berupa emas di kawasan Mukim Kechau, Lipis dekat sini merupakan sumber paling berharga bagi penduduk setempat memandang kan ia terletak dalam jajaran dikenali sebagai Sutura Raub-Bentong.

Sutura Raub-Bentong terletak dalam Jajaran Emas negara yang merentasi beberapa buah negeri di Semenanjung bermula dari Thailand hingga ke Batang Melaka, Jasin.

Felo Penyelidik Kanan, Pusat Kelestarian Ekosistem dan Sumber Alam (Pusat Alam) Universiti Malaysia Pahang, Prof. Madya Dr. Mohd Fakhrurrazi Ishak berkata, Jajaran Emas itu sangat terkenal sejak dari dahulu dan mula dilombong pada zaman penjajah British lebih 100 tahun lalu.

Katanya, lombong emas terbesar iaitu Penjom Goldmine yang terletak di Kuala Lipis juga terletak dalam jajaran berkenaan.

“Di kawasan Pahang seperti Raub serta Lipis memang mempunyai banyak galian emas, manakala di Gua Musang, walaupun agak sedikit (ditemukan emas), tetapi terdapat juga mineral lain di situ,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.




Terdahulu, Kosmo! semalam menyiarkan mengenai kewujudan emas di kawasan Mukim Kechau di Lipis meliputi enam buah kampung yang menyaksikan penduduk hanya melakukan perlombongan di kawasan sekitar rumah mereka.

Menurut Mohd. Fakhrurazi, walaupun emas di kawasan jajaran berkenaan telah dilombong sejak zaman British, namun sumber galian itu masih ditemui pada masa kini memandangkan banyak kawasan belum diterokai.

Beliau berkata, kawasan seperti lokasi perlombongan emas di Penjom terbentuk daripada proses emas primer yang lebih banyak berbanding kawasan di kampung-kampung yang terbentuk melalui proses emas sekunder.

“Pembentukan emas terbahagi kepada dua iaitu primer dan sekunder yang mana emas sekunder terdapat pada tanah yang agak cetek dan biasanya dalam jumlah sedikit berbanding primer emas berkualiti,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Fakhrurasi berkata, sebarang aktiviti perlombongan yang dilakukan perlu dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) diikuti kerja-kerja rehabilasi demi kelestarian alam.

Dalam pada itu, pakar menyifatkan emas yang terdapat di Mukim Kechau, Lipis mempunyai kualiti yang sama seperti emas yang diperoleh di tempat lain di seluruh dunia.

Pengasas blog Hargaemas.My , Shahrul Zakaria berkata, emas itu bagaimanapun akan dipecahkan kepada beberapa kategori berdasarkan ketulenannya selepas diproses oleh pihak kilang.

“Emas di kawasan itu biasanya diperoleh dalam bentuk seperti pasir. Kualitinya sama sahaja seperti emas di tempat lain.

“Saya pernah diberitahu, mereka yang melombong di Lipis boleh dapat emas bernilai sekitar RM16,000 seminggu,” katanya.

ANTARA emas yang ditemui.

Shahrul berkata, emas yang diperoleh di Lipis kemudian akan dijual kepada peraih pada kadar 92 peratus harga emas semasa.

Menurut beliau, peraih kemudian akan menjual emas itu kepada pengilang untuk dijadikan sebagai barang kemas.

Sementara itu, sumber Ar Rahnu sebuah bank tempatan menjelaskan, kualiti emas dari Lipis sama seperti emas lain cuma harganya lebih murah.

Kata beliau, keadaan itu mungkin disebabkan faktor permintaan dan terdapat pihak yang memproses sendiri emas di kawasan tersebut.

Sumber: Kosmo



26 Feb 2021

Arahan henti lombong emas di Kechau, Lipis

Kerajaan Pahang mengarahkan kegiatan melombong emas di kawasan Kechau, Lipis dihentikan serta merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, arahan itu untuk memastikan kegiatan terbabit dapat dikawal sebelum menjadi lebih serius.

Katanya, tindakan tegas itu diambil bagi mengelakkan kerajaan negeri kehilangan hasil pendapatan.

"Walaupun kegiatan melombong emas itu dilakukan di atas tanah milik sendiri, hasil mineral tertakluk kepada peraturan dan hak kerajaan Pahang.

"Sebab itu saya minta mereka hentikan kegiatan itu untuk mengelak daripada dikenakan tindakan," katanya ketika mengulas kegiatan melombong emas di Kampung Kechau.

Sumber : Metro

27 Feb 2021

Kerajaan negeri Pahang mempertimbangkan cadangan laksana Skim Pelombong Kecil (SPK) yang diselaraskan Pahang Mining Corporation Sdn Bhd (PMC).

Ia bagi membantu penduduk terutamanya di Kuala Lipis, untuk melakukan aktiviti perlombongan emas secara sah.






Tiada ulasan:

AddToAny