responsif teks foto

Isnin, 22 Februari 2021

Kenali pencipta vaksin Pfizer-BioNTech, pasangan suami isteri Muslim dari Turki.

Mereka menubuhkan syarikat BioNTech di Mainz,
Jerman pada 2008


Vaksin Pfizer-BioNTech adalah antara yang mendapat permintaan paling tinggi di dunia, mendahului vaksin-vaksin yang dihasilkan oleh China dan Rusia.

Syarikat BioNTech yang berpengkalan di Mainz, Jerman itu diasaskan oleh Dr. Ugur Sahin, 55, dan isterinya, Dr. Ozlem Turci, 53, pasangan suami isteri berbangsa Turki dan beragama Islam.

Kedua mereka datang daripada keluarga Turki yang telah berpindah ke Jerman untuk memulakan kehidupan baru.

Ibubapa Dr. Sahin telah berpindah ke Cologne, Jerman ketika Dr. Sahin berusia 4 tahun. Beliau membesar dengan cita-cita menjadi doktor dan telah mendapat ijazah kepakaran khidmat terapi imuniti kepada pesakit barah.

Isterinya, Dr. Turci pada usia muda ingin mendalami agama tetapi akhirnya menjadi doktor, mengikuti jejak kerjaya ayahnya.

Syarikat mereka memberi perhatian khusus kepada pemerkasaan dan pemulihan imuniti ke atas pesakit barah dan penyakit berjangkit. Mereka mempunyai 1,800 pekerja dan telah menjalankan pelbagai jenis penemuan dalam rawatan imuniti manusia.






Kelebihan kepakaran bidang ini telah membawa fahaman yang mendalam berkenaan imuniti manusia, benteng utama dan penentu kemampuan melawan virus dan penyakit di dalam badan.

Pfizer telah membuat pelaburan besar ke dalam syarikat BioNTech, termasuk kemudahan ujikaji dan pengkomersilan.

“Alfred Bourla sebagai Ketua Pfizer berasal dari Yunani, manakala saya berasal dari Turki. Ia merupakan suatu yang amat peribadi kepada saya.” kata Dr. Sahin, tanpa terlalu mengulas hubungan tegang antara Turki dan Yunani.

“Namun, Bourla seorang yang sentiasa mengusahakan terbaik untuk memastikan kerjasama kita berjaya, sebelum pandemik ini tercetus sekalipun.” tambah Dr. Sahin yang menjelaskan kerjasama dua syarikat itu pada awalnya adalah untuk menghasilkan vaksin untuk penyakit berjangkit pada 2017.

“Pasangan BioNTech itu amat berdedikasi dalam kerja mereka. Mereka tak terlalu memberi perhatian kepada keuntungan dan amat berpegang kepada prinsip. Saya percayakan mereka 100%.” kata Bourla ketika diminta mengulas berkenaan hubungan antara Pfizer dan BioNTech.

Kebetulan, pada tahun 2018, Dr. Sahin telah membuat kenyataan yang kajian mereka akan mampu menghasilkan vaksin untuk manusia sihat dalam masa yang singkat.

Pada Januari 2020, Dr. Sahin mula mendapat khabar berita berkenaan virus Covid19 dan telah memulakan kajian terperinci. Seawal bulan Mac, syarikat mereka telah berjaya memulakan ujian makmal dan juga ujian fizikal.

Hasil ujian telah membuktikan lebih 93% keberkesanan vaksin ke atas virus Covid19 dan sekaligus mendapat permintaan seluruh dunia.

“Ia mungkin menjadi permulaan kepada pengakhiran era Covid19.” kata Dr Sahin dalam temuramah baru-baru ini.

Mereka merupakan pasangan saintis berjaya dan berstatus bilionaire sebelum virus Covid19 muncul lagi.

Kini, pencapaian mereka menjadi kebanggaan penduduk Jerman yang menganggap penemuan mereka satu kejayaan besar buat negara Eropah itu.

Malaysia dijadualkan memulakan agihan vaksin Pfizer-BioNTech di Malaysia seawal bulan Mac 2021.
 
Malaysia turut menempah vaksin daripada beberapa negara lain termasuk China dan Rusia.

Tiada ulasan:

AddToAny