responsif teks foto

Rabu, 17 Februari 2021

RM500 setiap keluarga berpindah ke PPS




KENYATAAN MEDIA MENTERI BESAR PAHANG

Tunai RM500 setiap keluarga berpindah ke PPS serta rumah saudara-mara ekoran terkesan banjir

Kerajaan Negeri bersetuju membuat sumbangan tunai RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta rumah saudara-mara, susulan terkesan bencana banjir pada Januari lepas.

Sumbangan tunai dengan nilai sama juga akan diberikan kepada peniaga-peniaga di gerai-gerai dan rumah kedai-rumah kedai, yang turut mengalami bencana sama di seluruh negeri.

Jumlah kesemua ialah 18,726 orang melibatkan peruntukan kira-kira RM9.4 juta. Keputusan ini dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang saya pengerusikan pagi ini.

Mesyuarat hari ini juga mengambil maklum, Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, meluluskan peruntukan wang ihsan RM500 bagi setiap KIR.

Bernilai keseluruhan kira-kira RM4.3 juta, sumbangan Kerajaan Persekutuan menerusi NADMA ini hanya meliputi kira-kira 8,600 KIR.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menetapkan pemberian Bantuan Bayaran Sewa Rumah untuk selama tiga (3) bulan kepada KIR yang kehilangan rumah asal dan rumah tidak dapat diduduki, akibat bencana sama.

Jumlah KIR terbabit ialah 27 orang manakala peruntukan disediakan bagi menampung kos sewaan rumah selama tempoh tiga (3) bulan berkenaan ialah kira-kira RM16,800.

Sukacita juga saya maklumkan, mesyuarat MMK Negeri pagi ini turut bersetuju menyumbangkan sebuah komputer riba setiap seorang kepada penerima di bawah senarai Bantuan Kanak-kanak (BKK) Negeri Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 tahun ini.

Saya berharap, dengan bantuan kewangan serta peralatan yang saya umumkan hari ini, ia dapat sedikit-sebanyak meringankan beban ditanggung akibat bencana banjir, serta masalah pembelajaran dalam tempoh mencabar menghadapi wabak pandemik COVID-19 ketika ini.


DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang

17 Februari 2021


Tiada ulasan:

AddToAny