responsif teks foto

Rabu, 14 Oktober 2020

Hak Isteri Peneroka FELDA





SALAH FAHAM MASYARAKAT FELDA - NAMA ISTERI PENEROKA TIADA DALAM GERAN FELDA 

Terdapat banyak keadaan di mana apabila geran hak milik Felda dikeluarkan oleh kerajaan negeri, hanya ada nama suami sahaja tercatat dalam hak milik tersebut.

Kesannya, undang-undang tanah Malaysia (Seksyen 340 Kanun Tanah Negara) hanya mengiktiraf si suami sahaja sebagai pemilik tanah Felda. Perkara ini sedikit sebanyak memprejudiskan si isteri yang sama-sama masuk ke tanah rancangan dan bersama suami untuk mengusahakan tanah Felda.

Masalah akan timbul apabila berlaku;

a) poligami antara pasangan peneroka tersebut;

b) kematian suami (peneroka); dan juga

c) perceraian antara suami isteri tersebut.

Disebabkan nama si isteri tiada dalam geran, maka akan banyak berlaku kesukaran di pihak isteri itu apabila berlaku perkara-perkara yang dinyatakan di atas.

S: Adakah saya, isteri yang berjuang bersama-sama suami mengusahakan tanah felda ini boleh menuntut dimasukkan nama saya dalam geran itu?

J: Jika suami masih hidup dan perkahwinan masih berlangsung, suami sepatutnya memasukkan nama isteri tersebut dalam geran sebagai pemilik bersama geran felda. Jika beliau enggan, puan boleh dapatkan bantuan Pengurus Tanah Rancangan untuk bantu puan mendaftarkan nama tersebut melalui peguam. Perkara ini boleh dibuat dengan memasukkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil.

S: Saya dah bercerai dengan bekas suami yang merupakan peneroka Felda. Sekarang dia dah berkahwin baru dengan janda anak tiga. Anak-anak saya kata bekas suami ada niat nak tukarkan nama felda tu sebahagian kepada isteri barunya. Boleh ke saya tuntut hak saya selama ni mengusahakan tanah tu tuan?

J: Boleh sekiranya puan memang isteri yang berjuang bersama-sama suami membuka tanah felda tersebut. Jika puan ingat, sememangnya Felda sangat menjaga hak janda-janda peneroka ini sejak dari dahulu lagi. Antara usaha yang telah dilakukan oleh Felda adalah dengan memasukkan satu fasal dalam Surat Perjanjian Peneroka Felda berkenaan hak isteri peneroka yang mana isteri peneroka berhak menerima 50% dari pendapatan bersih setiap bulan. Selain dari itu, terdapat juga Peraturan Tuntutan Harta Sepencarian, Nafkah dan Hak Bekas Isteri dikeluarkan oleh Felda pada tahun 2006 yang mengesahkan hak isteri peneroka ini.

S: Macamana saya nak tuntut hak saya itu tuan?

J: Puan boleh tuntut harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah atau boleh cuba memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil untuk memohon hak tersebut.

S: Adakah bekas isteri ada hak terhadap tanah Felda?

J: Bekas isteri yang hidup bersama-sama bekas suami pada tempoh perkahwinan mereka dan datang memasuki dan mengusahakan rancangan Felda adalah layak.

S: Saya memasuki rancangan Felda bersama-sama bekas suami, kemudian kami bercerai dan saya berkahwin lain selepas itu, sekarang bekas suami dah meninggal, boleh ke saya menuntut?

J: Dalam kes puan ini, agak sukar untuk puan menuntut hak tersebut.

S: Ayah saya peneroka Felda telah meninggal dunia. Saya adalah anak dari isteri no 2. Mak saya dan saya tidak pernah pun duduk dalam rancangan Felda. Hanya isteri pertama dan anak-anak ayah dengan mak pertama sahaja yang duduk. Boleh ke mak saya menuntut hak beliau sebagai isteri?

J: Boleh. Tetapi perkara ini ada grey areanya. Dari segi literalnya apabila nama mak tua tiada dalam geran, bila ayah meninggal, semua isteri ayah akan berkongsi hak yang sama dari harta Felda.

Cuma satu segi yang lain, hak mak tua itu tuan perlu ambil kira juga, mengikut perjanjian peneroka dengan felda pada waktu mula-mula memasuki rancangan Felda, Felda memang menjaga hak isteri peneroka ini. Walaupun nama mak tua tiada dalam geran, sepatutnya kita kena faham mak tua ini mempunyai hak yang sama seperti arwah ayah dari tanah felda itu.

Jadi sekiranya mak tuan dan tuan adik beradik dari perkahwinan kedua ini hendak menuntut harta felda, pastikan tuan dan adik beradik hanya mengambil bahagian faraid arwah ayah sahaja (50% dari hasil felda). Bahagian mak tua sebanyak 50% lagi itu jangan diganggu. Walaupun namanya tiada dalam geran seperti arwah ayah, mak tua masih mempunyai hak dalam tanah felda itu sebagai pemilik bersama.

Semoga bermanfaat.

Zahari Affendi Abdul Kadir
Tetuan Zahari Affendi & Partners


4 ulasan:

Irdina berkata...

ayah saya peneroka felda.tapi mak saya dah meninggal .kami ada 6 beradik .selepas kematian mak ..ayah kawin isteri baru & tinggalkan rmh felda buat keputusan menetap di kg arwah atuk saya.sekarang dia ada ank² dengan isteri baru .
rumah felda ini diduduki oleh adk lelaki no 4 bersama isterinya & 3 org ank.serta adik lelaki bongsu yg belum berkahwin.
tanah ladang ini diusahakan oleh adik lelaki no 4..hasil pendapatan dari ladang hanya diberikan 1k sahaja kepada ayah.yg lain untuk dirinya.katanya ladang ini dipajak kepada dia sampai pokok tebang ..
tuan boleh saya tahu adakah betul cara ini

Tanpa Nama berkata...

Mengapa hak bapa tiada dituliskan?. Contoh, peneroka telah meninggal dunia lebih awal sebelum geran atau hakmilik dikeluarkan. Apa yg diamalkan, nama penerokawati atau ibu dituliskan pada geran hamilik 1/1 bahagian. Apabila berlaku kematian beberapa anak sebelum ibu meninggal dunia, warid dari anak yg telah meninggal dunia diabaikan hak mereka dan hanya anak² yg hidup saja berhak menuntut harta pewarisan pusaka. Hakikatnya harta tersebut peninggalan arwah bapa sejak geran hakmilik belum dikeluarkan dan pihak pejabat tanah ambil mudah dengan mencatatkan nama ibu semua bahagian pd geran tersebut. Akibatnya berlaku makan harta waris adik beradikk lain oleh adik beradik yg hidup apabila pembahagian pusaka dibuat seleoas kematian ibu yg hanya merujuk kpd yg tersurat bukan tersirat.

Tanpa Nama berkata...

assalamualikum tuan...mohon pencerahan...ayah saya dan emak saya masuk felda tahun 1974...pada 1979 emak saya telah meninggal dunia di felda tersebut , kemudian ayah saya telah berkahwin lain...pada 2010 ayah saya telah meninggal dunia kemudian kami adik beradik telah sepakat untuk lantik emak tiri saya sebagai pentadbir...masaalah mula timbul bila emak tiri saya mengatakan yang semua tanah felda adalah hak dia...itu semua tidak menjadi masaalah kerana saya tahu tentang hak saya cuma yang menjadi persoalan mak tiri saya mengatakan yang arwah mak saya tiada sebarang hak ke atas tanah felda walaupun arwah mak saya bersama arwah ayah saya yg mula2 datang ke felda kerana arwah mak saya hanya berada difelda selama 4/5 tahun saja....mohon pencerahan tuan...terima kasih

Nan Zul berkata...

Saya cadang Tuan, pegi bertanya pada Pembahagian Pusaka Negeri masing-masing.
Contoh NEGERI SEMBILAN
Unit Pembahagian Pusaka Negeri Sembilan Barat
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan)
Tingkat Bawah, Wisma Persekutuan
Jalan Dato' Abdul Kadir
70990 Seremban, Negeri Sembilan

AddToAny