Peneroka Felda Boleh Dilucutkan Hak Jika Terus Berdegil Tanam Ketum
PADANG BESAR, 30 Sept (Bernama) — Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) boleh dilucutkan hak tanah sekiranya masih berdegil menanam pokok ketum.
Ketua Unit Pewarisan, Jabatan Pengurusan Tanah Felda, Mohd Yassin Mohd Yusof berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika perkara ini berterusan.
“Tindakan pelucutan hak menerusi mahkamah boleh diambil ke atas peneroka yang menanam pokok yang tidak dibenarkan seperti pokok ketum berdasarkan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960,” katanya kepada pemberita di Felda Mata Ayer, ketika operasi bersepadu menebang pokok ketum melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tanah Dan Galian (JTG) Perlis di sini, hari ini.
Mohd Yassin berkata buat masa ini, Felda mengambil langkah memberi nasihat serta menebang pokok ketum bagi memberi kesedaran kepada peneroka, membabitkan 317 Felda dengan lebih kurang 2.5 juta peneroka dan waris peneroka Felda.
Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad yang turut sama pada operasi tersebut berkata sebanyak 200 hingga 250 pokok ketum ditebang di Felda Mata Ayer hari ini dan akan diperluaskan ke Felda Chuping dan Felda Rimba Emas dengan anggaran sebanyak 1,500 hingga 2,000 pokok ketum.
Beliau berharap dengan usaha ini dapat mengurangkan aktiviti penyeludupan sehigga 40 peratus apabila jumlah penawaran daun ketum berkurangan.
“Kami harap negeri lain turut melakukan usaha yang sama dalam memerangi jenayah penyeludupan dan penyalahgunaan daun ketum di negara ini,” katanya.
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan