responsif teks foto

Isnin, 23 November 2020

Bantuan Moratorium Bank Muamalat


Pengumuman




BANTUAN MORATORIUM – Bantuan Bayaran Pasca Moratorium

A) Penambahbaikan Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar

Penambahbaikan bantuan bayaran pembiayaan bersasar kepada kumpulan B40, M40 dan Perusahaan Mikro ini sejajar dengan pengumuman Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020. Langkah ini juga bertepatan dengan hasrat Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) bagi terus membantu dan mengurangkan bebanan kewangan pelanggan yang terkesan oleh penularan wabak COVID-19.

Kesemua penambahbaikan ini merupakan tambahan kepada bantuan sedia ada yang diumumkan sebelum ini untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, serta untuk individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik.

Soalan-Soalan Lazim (FAQ)

1. Soalan : Siapakah kumpulan sasar yang layak bagi bantuan penambahbaikan bayaran secara bersasar bagi kumpulan B40 ini?

Jawapan : Program penambahbaikan bantuan bayaran secara bersasar ini terbuka kepada individu / isi rumah dari kumpulan B40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH).

Kategori yang layak adalah seperti berikut:

Pendapatan bulanan isi rumah RM4,000.00 dan ke bawah;

Pendapatan bulanan individu (bujang) RM2,000.00 dan ke bawah.

Pelanggan boleh membuat semakan status melalui portal rasmi BSH Semakan Status

Butiran perincian:

Bagi pasangan yang telah berkahwin, suami dan isteri adalah layak memohon jika mereka mempunyai pembiayaan dengan pihak Bank Muamalat;

Pelanggan yang sebelum ini telah memilih untuk tidak menyertai program moratorium juga layak memohon;

Pelanggan yang sedang menyertai bantuan bayaran sedia ada juga layak memohon sekiranya memerlukan.

2. Soalan : Siapakah kumpulan sasar yang layak bagi penambahbaikan bantuan bayaran secara bersasar bagi kumpulan M40 ini?

Jawapan : Program bantuan bayaran secara bersasar ini terbuka kepada individu / isi rumah dari kumpulan M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Kategori yang layak seperti berikut:

Pendapatan bulanan isi rumah berjumlah RM4,001.00 ke RM8,000.00;

Pendapatan bulanan individu (bujang) berjumlah RM2,001.00 ke RM4,000.00

Pelanggan boleh membuat semakan status melalui portal rasmi BPN Semakan Status BPN

Bagi permohonan baru, pelanggan hanya perlu mengemukakan surat pengisytiharan diri (self-declaration) mengenai pengurangan jumlah pendapatan isi rumah/ individu disebabkan pandemik.

Sebarang dokumentasi lanjut yang diperlukan oleh pihak bank (jika berkenaan) hanya akan dilakukan kemudian bagi tujuan pengesahan.

3. Soalan : Adakah kumpulan Perusahaan Mikro juga layak memohon?

Jawapan : Ya, bagi kemudahan Perusahaan Mikro dengan pembiayaan berjumlah sehingga RM150,000.00 adalah layak dengan syarat berikut:

Perolehan jualan kurang daripada RM300,000; atau

Mempunyai kurang daripada 5 orang pekerja sepenuh masa;

Nota: Hanya surat pengisytiharan diri (self-declaration) diperlukan dan tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan.

4. Soalan : Jika saya memenuhi kriteria kumpulan sasar di atas, apakah syarat untuk menyertai penambahbaikan bantuan bayaran secara bersasar ini?

Jawapan : Semua pelanggan pembiayaan yang tidak mempunyai baki tunggakan melebihi 90 hari (pada tarikh permohonan) atau pembiayaan baharu yang diluluskan pada atau sebelum 30 September 2020.

5. Soalan : Apakah ciri dan bentuk bantuan bayaran secara bersasar tambahan yang tersedia?

Jawapan : Bank menawarkan bantuan bayaran secara bersasar tambahan seperti yang berikut:

Penangguhan ansuran bulanan selama 3 bulan; atau

Pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50% selama 6 bulan.

Kemudahan yang layak adalah Pembiayaan Perumahan, Pembiayaan Peribadi & Pembiayaan Kenderaan.

Ianya adalah tertakluk kepada sebarang perubahan jumlah keseluruhan bayaran dan dokumentasi tambahan jika berkenaan.

6. Soalan : Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan?

Jawapan : Sekiranya anda memenuhi kriteria dan syarat kelayakan, anda hanya perlu mengisi borang permohonan “Bantuan Bayaran Bersasar Tambahan” secara atas talian yang boleh didapati di laman sesawang Bank Muamalat (pautan ke “Penambahbaikan Bantuan Bayaran”) mulai 23 November 2020.

Pelanggan juga boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat bagi permohonan bantuan bayaran tersebut.

7. Soalan : Bilakah tempoh sah untuk membuat permohonan?

Jawapan : Tempoh sah untuk permohonan bagi pelanggan yang layak adalah mulai 23 November 2020 hingga 30 Jun 2021.

8. Soalan : Apakah dokumen – dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan?

Jawapan : Pelanggan hanya perlu mengisi borang yang telah disediakan secara atas talian dan tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan (jika berkenaan).

9. Soalan : Apakah kesan jika saya memilih untuk menyertai penambahbaikan bantuan bayaran secara bersasar ini?

Jawapan : Sila ambil maklum bahawa:




Ansuran bulanan, kadar keuntungan bank atau tempoh pembiayaan anda mungkin akan berubah;

Perjanjian baharu perlu ditandatangani selaras dengan keperluan undang-undang dan pematuhan syariah;

Jumlah keseluruhan bayaran sehingga akhir tempoh pembiayaan akan bertambah/ berubah berbanding perjanjian asal.

10. Soalan : Adakah permohonan bantuan bayaran bagi kategori B40/M40 boleh dibuat sekiranya saya tidak berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH)/ Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Jawapan : Boleh. Jika tidak memenuhi kriteria, permohonan masih boleh dibuat tetapi ianya akan diproses mengikut proses permohonan bantuan bayaran sedia ada (pautan ke laman sesawang bank Muamalat “bantuan bayaran pasca moratorium”) di mana pelanggan perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti slip gaji dan dokumen lain (jika berkenaan).

Kegagalan mengemukakan maklumat yang diperlukan boleh menyebabkan kelewatan pemprosesan/ permohonan ditolak.

11. Soalan : Adakah perlindungan Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTT)/Takaful Kredit Berkumpulan (GCT) masih dilindungi untuk tempoh yang dilanjutkan (jika ada)?

Jawapan : Tidak. Perlindungan takaful MRTT/GCT sedia ada hanyalah sehingga tarikh matang dalam perjanjian asal.

12. Soalan : Untuk pertanyaan lebih lanjut, siapa yang harus saya hubungi?

Jawapan : Sila hubungi pusat khidmat pelanggan kami di talian 03-2600 5500 atau kunjungi cawangan terdekat kami atau e-mel ke feedback@muamalat.com.my

Untuk permohonan sila tekan butang di bawah:

Permohonan B40, M40 & Perusahaan Mikro

B) Bantuan Bayaran Pasca Moratorium Bank Muamalat Malaysia Berhad

Tempoh moratorium akan berakhir pada 30 September 2020, kami memahami akan kekangan kewangan yang mungkin anda hadapi. Kami mengambil berat tentang anda dan sedia membantu sekiranya anda menjangkakan kesukaran untuk meneruskan bayaran pembiayaan selepas tempoh moratorium berakhir.

Bantuan bayaran bersasar ini sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini mengenai inisiatif bantuan COVID-19 yang diperluas oleh kerajaan. Program Bantuan Bayaran Pasca Moratorium yang disediakan adalah penyusunan semula bayaran ansuran pembiayaan. Langkah ini sejajar dengan hasrat Bank Muamalat bagi mengurangkan bebanan kewangan pelanggan pada waktu ini yang terkesan oleh penularan wabak COVID-19.

Walau bagaimanapun, meneruskan bayaran ansuran pembiayaan anda seperti sediakala adalah pilihan yang terbaik.

Soalan-Soalan Lazim (FAQ)

1. Soalan : Adakah program moratorium automatik akan dilanjutkan?

Jawapan : Tiada lanjutan diberikan bagi program moratorium automatik dan ianya akan berakhir pada 30 September 2020.

Walau bagaimanapun, lanjutan moratorium selama 3 bulan hanya akan diberikan kepada pelanggan yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, bermula 1 Oktober 2020.

Pelanggan perlu membuat permohonan lanjutan moratorium tersebut kepada pihak bank.

2. Soalan : Apakah bentuk bantuan bayaran yang disediakan oleh Bank Muamalat selepas tempoh moratorium berakhir?

Jawapan : Bank Muamalat menyediakan penyusunan semula bayaran ansuran pembiayaan.

3. Soalan : Apakah kriteria kelayakan yang diperlukan untuk mendapatkan bantuan bayaran tersebut?

Jawapan : Semua pelanggan Bank Muamalat yang telah menyertai moratorium automatik atau penangguhan bayaran pembiayaan adalah layak memohon.

Walau bagaimanapun, program ini juga terbuka kepada mereka yang telah terkesan oleh pandemik Covid-19 seperti Kehilangan Pekerjaan, Pengurangan Gaji & Diberikan Cuti Tanpa Gaji oleh Majikan.

Sehubungan itu, bagi pelanggan yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan, bantuan bayaran adalah berbentuk bayaran ansuran yang dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pembiayaan, untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa pelanggan berkenaan, bermula 1 Oktober 2020.

Disamping itu, pihak bank adalah komited untuk membantu semua Pelanggan termasuk PKS, baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat COVID-19. Bergantung kepada situasi pelanggan tersebut, antara bantuan yang ditawarkan termasuk:

Membayar keuntungan (profit) sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan; atau

Melanjutkan tempoh pembiayaan bagi mengurangkan bayaran ansuran bulanan; atau

Memberi pelepasan lain (jika berkenaan) sehingga pelanggan mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

Bagi pelanggan Pembiayaan Kenderaan pula, pihak bank akan turut menawarkan pilihan penyusunan semula bayaran ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli (jika berkenaan).

Notifikasi umum telah dihebahkan melalui laman sesawang dan media sosial rasmi Bank Muamalat serta SMS telah dihantar pada pelanggan yang layak.

4. Soalan : Bagaimana untuk memohon bantuan bayaran pasca moratorium? Adakah saya perlu menghubungi pihak Bank?

Jawapan : Ya, sila hubungi Bank Muamalat di talian +603-2600 5500 atau mengisi borang permohonan Bantuan Bayaran Pasca Moratorium yang boleh didapati di laman sesawang Bank Muamalat dan e-mel ke endmora.assistance@muamalat.com.my bersama dokumen yang berkaitan selewat – lewatnya pada 30 Jun 2021.

Pelanggan juga boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat bagi permohonan bantuan bayaran tersebut.

5. Soalan : Apakah dokumen – dokumen yang diperlukan untuk permohonan bantuan bayaran?

Jawapan : Sila kemukakan dokumen berikut:

  • Slip Gaji;
  • Dokumen Sokongan; seperti Surat Pemberhentian kerja/Pemotongan Gaji/ Cuti Tanpa Gaji;
  • Lain – lain dokumen (jika berkenaan).

Kegagalan mengemukakan maklumat yang diperlukan boleh menyebabkan kelewatan pemprosesan/ permohonan ditolak.

6. Soalan : Bagaimana untuk mengetahui keputusan permohonan bantuan bayaran pasca moratorium?

Jawapan : Pihak bank akan menghubungi pelanggan yang Berjaya/ lulus bagi tujuan dokumentasi Bantuan Bayaran Pasca Moratorium.

7. Soalan : Berapa jumlah ansuran bulanan yang perlu dibayar setelah tempoh moratorium berakhir?

Jawapan : Jumlah ansuran bulanan adalah tidak berubah dan seperti sediakala. Tetapi, perubahan hanya berlaku jika permohonan Bantuan Bayaran Pasca Moratorium anda berjaya/ lulus.

8. Soalan : Adakah bayaran ansuran bulanan saya selepas moratorium berakhir dikira untuk mengurangkan jumlah amaun tertunggak?

Jawapan : Bayaran ansuran bulanan anda akan menjelaskan keuntungan terakru, keuntungan dan seterusnya jumlah prinsipal/ pokok yang tertunggak.

9. Soalan : Adakah rekod CCRIS saya akan terjejas dengan menyertai Bantuan Bayaran Pasca Moratorium?

Jawapan : Penyertaan Bantuan Bayaran Pasca Moratorium tidak akan menjejaskan rekod CCRIS.

Nota: Soalan lazim ini akan dikemaskini sekiranya terdapat perkembangan baharu. Sila rujuk laman sesawang www.muamalat.com.my bagi soalan lazim terkini.

Untuk permohonan sila tekan butang di bawah:

Tiada ulasan:

AddToAny