responsif teks foto

Ahad, 31 Januari 2021

Pelombong Haram di Hutan Jelai



Kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai di sini yang dikatakan mempunyai galian emas yang tinggi terus menjadi sasaran pelombong emas haram meskipun beberapa siri tangkapan dan serbuan dilakukan sepanjang tahun lalu.

Difahamkan dalam kes terbaharu, pelombong emas berpengalaman yang menggunakan teknologi terkini melakukan aktiviti haram itu di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon.

Pegawai Pejabat Hutan Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, bagaimanapun aktiviti melombong emas secara haram itu berjaya dikesan dan disekat oleh pihaknya yang melakukan serbuan baru-baru ini.

“Serbuan dilakukan di kawasan berkenaan menemukan tapak khemah sindiket terbabit dipercayai dianggotai antara empat hingga enam individu yang berpengalaman luas dalam kegiatan itu.

“Namun kumpulan itu dipercayai baharu memberhentikan kegiatan haram yang dilakukan seterusnya meninggalkan tempat itu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nor Shahrini, kes kali ini merupakan kejayaan pertama Pejabat Hutan Lipis tahun ini selepas sebanyak lima kes berjaya dikesan dan menahan beberapa individu pada tahun lalu.

Katanya, pemeriksaan di sekitar kawasan terbabit menemukan jengkaut dan lori hantu yang digunakan untuk memindahkan pasir serta batu yang diletakkan kira-kira dua kilometer daripada lokasi melombong.

“Turut ditemukan di situ palong besi yang digunakan untuk kegiatan melombong emas, sindiket terbabit menjadikan Hutan Simpan Ulu Jelai sebagai lokasi kegiatan mereka berikutan kawasan di situ dipercayai mengandungi galian emas yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan di sekitar kawasan terbabit mendapati kegiatan melombong emas di situ masih baharu berdasarkan kesan aktiviti mengambil pasir dan mengorek batu dalam sungai masih berada pada peringkat awal serta kerosakan permukaan tanah masih pada tahap sedikit.

Ujarnya, kesan penggunaan jentera untuk kegiatan haram itu masih pada tahap tidak serius, pencemaran air sungai yang kebiasaannya berlaku tidak dikesan masyarakat setempat sebelum ini. – 

Kredit :  Utusan Malaysia


Tiada ulasan:

AddToAny